Penagih tanpa bekalan dadah kini dipercayai mengambil air ketum campuran bagi melepaskan ketagihan mereka, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri DSP Azizan Said.

Beliau berkata kecekapan polis dan pihak berkuasa membanteras jenayah dadah menyebabkan pembekal dan penagih semakin sukar mendapatkan bahan itu.

"Bila bekalan berkurangan, penagih dadah beralih kepada air ketum...senario ini membimbangkan masyarakat di sini," katanya pada sidang media semasa Operasi (Ops) Tapis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar di sini, pada Ahad.

Memandangkan ketum memberi kesan sama seperti dadah, beliau berkata kesalahan menyalah guna bahan itu haruslah dihukum mengikut undang-undang dadah.

Beliau berkata bagaimanapun, kajian santifik tentang kesan pengambilan air ketum belum dibuktikan dan penyalahgunaan ketum masih tertakluk mengikut Akta Racun 1952.

Azizan berkata sebanyak 18,696 kilogram (kg) ketum dirampas tahun ini yang meningkat sebanyak 5,545 kg atau 42 peratus berbanding 13,151 kg tahun lepas.

"Rampasan cecair ketum juga meningkat kepada 2,610 liter tahun ini yang bertambah 72 peratus berbanding 1,517 liter tahun lepas," katanya. -- BERNAMA