Seorang penagih tegar yang telah dimasukkan ke pusat serenti sebanyak tiga kali sejak 2009, hari ini terpaksa meringkuk lagi dalam penjara selepas didapati bersalah menghisap dadah.

Safari Ismail, 46 tahun dijatuhi hukuman penjara lima tahun dengan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini atas tiga kesalahan memiliki dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Hakim Zulhazmi Abdullah yang membuat penghakiman ke atas Safari, turut memerintahkan dia menjalani hukuman itu selepas berakhir hukuman penjara yang dijalaninya ketika ini, iaitu 10 bulan.

Hukuman penjara bagi kesalahan sebelum ini bermula 14 jun lalu atas tiga kesalahan memiliki dadah mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Terdahulu, tertuduh mengaku bersalah atas pertuduhan memasukkan dadah jenis methamphetamine ke dalam tubuhnya ketika pemeriksaan urin di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah Padang Terap, pada 14 jun lalu, kira-kira jam 6.10 petang.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (A) ADB 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39C (1) akta sama yang membawa hukuman penjara minimum lima tahun dan maksimum tujuh tahun serta tidak lebih tiga sebatan.

Safari dari Kampung Kuala Lanjut, Mukim Lesong, ditahan pada 14 Jun lalu kira-kira jam 4.30 petang oleh sepasukan pegawai BSJN IPD Padang Terap Diketuai Inspektor Sohaimi Saad dalam serbuan di sebuah rumah di Batu 27 Kampung Padang Nyior, Kuala Nerang.

Dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki dan menjumpai sejumlah barang rampasan bersama mereka dengan ujian urin tertuduh kemudiannya didapati positif methamphetamine.

Sampel air kencing tertuduh kemudian dihantar ke Jabatan Patalogi Hospital Kuala Lumpur pada 16 Jun 2017 dan disahkan mengandungi dadah itu sekali gus menunjukkan tertuduh melakukan kesalahan berulang.

Namun, ini bukan kali pertama Safari dipenjarakan.

Dia pernah dipenjarakan tiga kali sebelum ini atas kesalahan dadah pada 1998, 2001 dan 2005.

Tertuduh juga pernah dimasukkan ke pusat pemulihan mengikut Seksyen 6 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan & Pemuilihan) 1983 iaitu di Pusat Serenti Raub pada 2009 dan Pusat Serenti Bukit Chabang pada 2000 dan 1998.