Wakil tunggal sukarelawan Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Afandi Salleh yang ditahan tentera Israel ketika misi menghantar bantuan ke Gaza, Palestin yakin insiden yang berlaku pada 29 Julai lalu akan mencetuskan lebih banyak idea bagaimana menghadapi kerenah tentera Isreal ketika melakukan misi bantuan ke wilayah bergolak itu pada masa hadapan.

Jelas aktivis Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) itu, idea-idea yang tercetus sepanjang penahanan tersebut dilihat mampu membuka jalan sebagai usaha memecahkan 'tembok' kawalan Israel terhadap perairan Gaza.

"Saya sendiri sudah tiga kali terlibat dalam misi bantuan ke Gaza dengan dua kali melalui jalan darat dan pertama kali melalui laut. Saya percaya menghantar bantuan melalui laut lebih sukar disebabkan kawalan lebih ketat oleh tentera Israel.

"Selepas kejadian ini, kita akan dapat menambah baik cara untuk memasuki perairan Gaza sekali gus memastikan bantuan kepada penduduk Palestin dapat disampaikan," katanya ketika ditemui Bernama selepas menjadi tetamu dalam program Ala Carte Pagi di Bernama Radio di sini hari ini.

Pada 29 Julai lalu, Timbalan Dekan Fakulti Undang-Undang dan Hubungan Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) berusia 47 tahun itu bersama 22 sukarelawan dari 12 negara lain yang menaiki kapal flotila Al-Awda dengan membawa 116 kotak ubatan-ubatan ke Gaza di tawan tentera Israel pada kedudukan 49 batu nautika dari perairan Gaza.

Mohd Afandi yang ditahan selama 36 jam di Penjara Givon juga menjelaskan layanan yang diberikan tentera Israel kepadanya lebih kepada 'bermuka-muka'.

"Mereka (tentera Israel) tidak sanggup menerima tekanan antarabangsa sekiranya mereka membuat sesuatu yang teruk kepada kami. Jadi, mereka memberi layanan yang dalam erti kata bagi mereka 'baik' tapi bagi kita, kita tahu mereka ini bermuka-muka dan menipu. Ia lebih kepada propaganda," katanya.

Biarpun menghadapi pelbagai rintangan, Dr. Mohd Afandi mengakui tidak serik malah menyeru masyarakat Malaysia terus aktif dalam membantu dalam isu Palestin dan tidak melakukannya secara bermusim.

"Masyarakat kita adalah antara yang cakna dengan isu Palestin cuma kadang-kala dilakukan secara bermusim, contohnya bila berlaku serangan ataupun di bulan Ramadan. Apa yang penting, masyakat sedar kita perlu lakukan sesuatu untuk membebaskan Gaza kerana kekejaman yang berlaku sangat luar biasa," katanya.

Sehubungan itu, Dr Mohd Afendi melalui MyCARE akan melakukan siri jelajah kesedaran dan berkongsi pengalamannya bersama pelbagai peringkat masyarakat di seluruh negara.

-- BERNAMA