Pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa dua menunjukkan peningkatan yang baik, demikian kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Menteri Kanan (Keselamatan) itu, ia dibuktikan apabila kadar tangkapan individu yang ingkar PKP menyaksikan penurunan sebanyak 21.8 peratus atau seramai 413 individu berbanding 524 orang pada Khamis.

“Seramai 380 direman dan 33 orang dijamin sementara seramai 362 individu telah dituduh di mahkamah.

“Ingin saya jelaskan seperti semalam iaitu terdapat penurunan dari segi jumlah tangkapan dan saya harap trend ini berterusan, dan seperti yang saya cakapkan tadi ianya boleh dianggap sebagai gambaran bahawa pematuhan semakin meningkat,” demikian katanya pada sidang media harian di sini pada Sabtu.



Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan sebanyak 731 sekatan jalan raya dan 4,267 pemeriksaan kenderaan telah dijalankan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Selain itu, katanya sebanyak 26,202 pemeriksaan mengejut turut dijalankan membabitkan 4,174 premis setakat Jumaat.

“Semalam PDRM telah menahan seramai 413 individu yang melakukan kesalahan yang ingkar kepada perintah yang dikeluarkan,” ujarnya.