Penahanan peguam kepada bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, Matthias Chang, telah dilanjut selama 28 hari bermula Jumaat.

Peguam yang mewakilinya Mohd Akmal Afiq berkata kepada Astro AWANI bahawa lanjutan tahanan itu dibuat pihak polis di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (SOSMA) 2012.

“Kami bagi pihak pasukan peguam Matthias sedang menyiapkan dokumen bagi menghalang penahanan lanjutan itu seterusnya akan difailkan pada Isnin ini di mahkamah,” ujar Mohd Akmal sambil menambah dokumen tersebut sedang disiapkan dalam Bahasa Melayu dan Inggeris.

Matthias sejak Khamis memulakan mogok lapar dalam usaha untuk menegakkan ‘keadilan, kebenaran dan kehormatan’, seperti yang dinyatakannya dalam satu kenyataan akhbar.

“Beliau yang ditemui hari ini masih meneruskan mogok lapar namun kelihatan masih kuat dan terus bersemangat,” kata Mohd Akmal.

Menjawab pertanyaan berkenaan kenyataan media daripada Matthias yang dikeluarkan selepas beliau ditahan, Mohd Akmal menjelaskan bahawa ia sudahpun disediakan lebih awal kerana Matthias sudah tahu akan tindakan yang bakal dihadapinya sejak Khairuddin ditahan.

“Ia sudah dibuat lebih awal sebelum beliau ditahan. Apabila telahannya betul, beliau mengarahkan pembantu peribadinya untuk menyebarkan kenyataan media tersebut,” katanya.

Pada 28 September lepas, Matthias telah dipanggil bagi memberi keterangan di IPD Dang Wangi berhubung kes bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Batu Kawan itu.

Khairuddin sebelum ini, direman selama enam hari mulai 19 September mengikut Seksyen 124C Kanun Keseksaan atas dakwaan cuba melakukan aktiviti yang boleh menjejaskan demokrasi berparlimen.