Majlis Peguam hari ini mengulangi pendiriannya bahawa penamatan tugas Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai Peguam Negara tidak mengikut perlembagaan.

Presidennya Steven Thiru berkata ini adalah kerana kerajaan berkata Abdul Gani akan terus menjadi pegawai kehakiman dan guaman sehingga beliau bersara dan ini merupakan penurunan pangkat yang mempunyai jaminan hak untuk didengar.

Steven berkata hak Abdul Gani untuk didengar harus berasaskan sebab-sebab kesihatan seperti sebab yang diberikan oleh kerajaan pada tarikh perkhidmatan beliau ditamatkan dan Abdul Gani mempunyai hak untuk menghadap lembaga perubatan.

“Kami menganggap apa yang telah berlaku adalah beliau telah diturunkan pangkat kerana kenyataan yang dikeluarkan oleh kerajaan berkata bahawa beliau akan terus berkhidmat sebagai pegawai kehakiman dan undang-undang sehingga beliau bersara.

"Hak untuk didengar di sini mestilah berasaskan kepada alasan yang diberikan oleh kerajaan. Alasan yang diberikan oleh kerajaan adalah sebab-sebab kesihatan. Jika seorang penjawat awam perlu ditamatkan perkhidmatan atas sebab-sebab kesihatan, ada prosedur .

“Penjawat awam mempunyai hak untuk menghadap lembaga perubatan dan kemudian mereka membuat keputusan.

“Ini tidak dipatuhi dan kerana ia tidak dipatuhi ia menyebabkan langkah ini sesuatu yang tidak mengikut perlembagaan,” katanya kepada pemberita pada suatu sidang akhbar di sini, hari ini.

Pada Rabu, Peguam Negara (AG) yang baharu dilantik Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata penamatan perkhidmatan Abdul Gani dilakukan mengikut Perlembagaan Persekutuan yang tidak memerlukan sebuah tribunal bagi menentukan perkhidmatannya.

Mohamed Apandi berkata artikel dalam perlembagaan yang memerlukan tribunal bagi penamatan khidmat AG telah digantikan dengan klausa baharu di bawah Akta (Pindaan) Perlembagaan dan berkuatkuasa pada 16 September 1963.