Pembinaan menara telekomunikasi yang lebih banyak menjadi tumpuan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memandangkan masalah rangkaian liputan masih berlaku dan menjadi keluhan masyarakat Malaysia.

Timbalan Menterinya Datuk Jailani Johari berkata, pihak kementerian melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil berat tentang perkara itu dan sedang merencanakan langkah-langkah berkaitan.

“Kalau boleh kita tidak lagi mahu ada beberapa kawasan yang tidak lagi diliputi (perkhidmatan) talian selular. Kita tahu pada awal tahun 90-an dahulu (individu tertentu) hanya ada satu telefon. Sekarang ini, seorang mungkin ada dua ataupun tiga telefon,” ujarnya.


Hasrat kerajaan, menurut Jailani, adalah untuk menyediakan perkhidmatan itu bukan sahaja di bandar malah di kawasan luar bandar.

Tambah beliau, penembusan perkhidmatan telefon mudah alih di negara ini adalah sekitar 96 peratus dengan kadar penggunaan sebanyak 140 peratus.

“Saya harap dengan adanya perancangan yang kita lakukan, maknanya sasaran kadar penembusan dapat bertambah sehingga 98 peratus,” ujar beliau yang ditemui dalam majlis Anugerah Kecemerlangan Industri Perniagaan Mudah Alih (MBEA) 2015 di ibu negara pada Khamis.

Jailani juga berkata bahawa beberapa inisiatif lain juga sedang dijalankan untuk memastikan aspek kualiti liputan rangkaian perkhidmatan tidak dikompromi dan pihak kementerian menyeru semua pemain industri agar mengambil serius akan perkara itu.

Berkenaan pembentangan Bajet 2016 pada Jumaat, Jailani berkata pihak KKMM berharap perkara yang bakal diperincikan adalah mengenai keupayaan jalur lebar dan teknologi komunikasi dan multimedia (ICT).

“Golongan Gen-Y merasakan ICT adalah sebahagian daripada kehidupan seharian dan saya percaya ada sesuatu yang akan diumumkan oleh Perdana Menteri dalam pembentangan bajet. Kita sama-sama tunggu,” ujar beliau.