Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melihat tiada masalah dalam prosedur operasi standard (SOP) operasi mencari dan menyelamat (SAR) Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), namun tidak menolak untuk membuat penambahbaikan di masa hadapan.

Timbalan Menterinya, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad berkata pihak kementerian dan JBPM sentiasa berusaha untuk memastikan setiap aspek operasi adalah yang terbaik dan paling selamat.

"Apa yang dilakukan sudah mengikut SOP yang ditetapkan, tetapi ada masanya, walau apa pun persediaan, tetap tidak mampu melawan situasi yang berada di luar kawalan kita.

"Tetapi tragedi ini juga boleh menjadi titik tolak untuk kita membuat penambahbaikan untuk mengelak situasi ini daripada berulang," kata beliau.

Raja Kamarul ditemui dalam sidang media selepas sesi lawatan rasmi ke ibu pejabat JBPM Putrajaya, hari ini.

Beliau juga menyerahkan sumbangan peribadi kepada ahli keluarga dan waris keenam-enam anggota bomba terbabit, namun jumlahnya tidak dimaklumkan.

Turut diumumkan pada majlis itu ialah pengibaran bendera JBPM separuh tiang di semua premis milik JPBM bermula 5 Oktober hingga 7 Oktober, sebagai tanda berkabung atas kehilangan enam anggota bomba terbabit.

Dalam kejadian di Taman Putra Perdana, Puchong, pada Rabu malam, enam anggota Pasukan Penyelamatan di Air (PPDA) iaitu Mohd Fatah Hashim, 34; Izatul Akma Wan Ibrahim, 32; Mazlan Omarbaki, 25; Yahya Ali, 24; Adnan Othman, 33; dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari, 25, lemas ketika operasi mengesan seorang remaja yang hilang di lombong tinggal itu.