Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menegaskan pencarian pesawat MH370 hanya ditangguhkan sementara dan bukan dihentikan sepenuhnya.

Jelasnya, pencarian akan diteruskan jika ada penemuan baharu berkaitan pesawat komersil negara itu.

"Seperti yang saya katakan, ini adalah penangguhan dalam pencarian bukti baharu pada masa akan datang. Jika wujud bukti penemuan yang baharu , kita akan meneruskan pencarian.

"Ia (pencarian) bukan dihentikan untuk selama-lamanya," katanya kepada media selepas berucap melancarkan Seminar mengenai Keretapi Berkelajuan Tinggi (HSR) Perancis- Malaysia di sini hari ini.

Tiong Lai berkata, beliau juga memahami perasaan keluarga mangsa yang sedih dengan penangguhan pencarian MH370.

Malah, jelasnya, Malaysia sentiasa melakukan yang terbaik untuk memastikan misteri kehilangan pesawat komersil negara itu akan dapat dirungkaikan.

"Kami sedang melakukan yang terbaik sehingga sekarang kita terpaksa menangguhkan pencarian MH370 memandangkan sebelum ini kita ada mensasarkan pada 120,000 kilometer persegi kawasan pencarian dan penangguhan bukti baharu.

"Jadi, kita sentiasa bersama keluarga mangsa," tambahnya.

Tambahnya, kapal yang terlibat dengan pencarian sedang dalam perjalanan ke pelabuhan dan dijangka tiba pada Ahad.

"Jadi saya akan ke sana untuk mengucapkan terima kasih kepada kumpulan pencarian dan pada masa sama untuk mendengar pandangan pakar terlibat untuk rancangan seterusnya," katanya lagi.

Sebelum ini, Tiong Lai berkata, kerajaan memutuskan untuk menghentikan sementara misi mencari MH370 di Selatan Lautan Hindi.

Misi pencarian MH370 diketuai Australia meliputi 120,000 kilometer persegi membabitkan kos kira-kira RM650 juta yang ditanggung tiga negara iaitu Malaysia, Australia dan China.

Pada Mac 2014, penerbangan MH370 hilang ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing dengan 239 penumpang dan anak kapal.