Keputusan kerajaan untuk tidak melupuskan pegangannya dalam syarikat konsesi lebuh raya, PLUS Malaysia Berhad (PLUS), telah memberi kelegaan besar khususnya untuk jutaan ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Reaksi terhadap berita yang begitu dinantikan itu mungkin disimpulkan secara terbaik oleh Anggota Parlimen Sekijang, Anuar Abdul Manap apabila berkata: "Saya hampir dapat mendengar 14.5 juta ahli KWSP menarik nafas lega apabila pelaburan KWSP tetap dikekalkan.

"Kerajaan membuat keputusan tepat dalam mengekalkan pemilikan lebuh raya PLUS semata-mata kerana ia merupakan aset negara yang strategik dan dividen daripada operasi lebuh raya itu dibayar kepada ahli KWSP," katanya kepada Bernama di sini.

Dua entiti berkaitan kerajaan iaitu Kumpulan UEM menguasai 51 peratus kepentingan dalam PLUS manakala baki 49 peratus dikuasai KWSP.

Bulan lepas, pengendali tol, Maju Holdings Sdn Bhd telah mencetuskan sensasi dalam pasaran tempatan apabila mengumumkan tawaran bernilai RM36 bilion untuk membeli keseluruhan aset dan liabiliti PLUS daripada UEM dan KWSP.

PLUS memiliki lima konsesi lebuh raya bertol sepanjang 772km di Semenanjung Malaysia.

Maju Holdings turut memaniskan perjanjian itu dengan tawaran menarik untuk tidak menaikkan kadar tol PLUS selama 20 tahun sehingga akhir tempoh konsesi semasa yang akan berakhir pada 2038.

Bagaimanapun, minggu lepas, Kementerian Kewangan, dalam jawapan bertulis di Parlimen, berkata kerajaan menolak cadangan pengambilalihan pegangan dalam PLUS yang dicadangkan oleh Maju Holdings yang dimiliki oleh pengerusi eksekutifnya, Tan Sri Abu Sahid Mohamed.

Maju Holdings ketika ini mengendalikan Lebuhraya Maju (MEX) yang beroperasi sejak lapan tahun lalu, iaitu sepanjang 29 kilometer menghubungkan pusat bandar Kuala Lumpur ke Putrajaya.

Pendirian tegas kerajaan itu menunjukkan bahawa ia tidak yakin mengenai tawaran pengambilalihan, yang dinyatakan harus disokong dengan punca pendanaan yang jelas dan kukuh.

Namun satu lagi faktor yang perlu dipertimbangkan ialah keupayaan pengendali baharu untuk menguruskan PLUS memandangkan kedudukannya sebagai tulang belakang sistem lebuh raya negara dan aset negara yang strategik.

Selain itu, kerajaan menyatakan keupayaan operasi untuk memastikan pengendali aset strategik negara ini tidak berdepan dengan pemasalahan kewangan sekiranya berlaku kejutan ekonomi, mahupun keteruapan pertukaran mata wang asing.

"Kerajaan juga memandang serius kedudukan kewangan entiti swasta seperti Maju Holdings dalam pembiayaan pelaksanaan korporat ini," demikian Parlimen diberitahu.

Keazaman politik kerajaan jelas sebagai pemacu perubahan dengan sendirinya berdasarkan pengajaran daripada pengalaman yang dilaluinya terutamanya masalah penswastaan syarikat pengeluar besi keluli nasional, Perwaja Steel dan Malaysia Airlines, lebih 20 tahun lalu.

Dalam kedua-dua kes itu, kerajaan terpaksa menyuntik jumlah dana yang besar beberapa kali untuk menyelamatkan syarikat berkenaan daripada insolvensi.

Beberapa pakar ekonomi turut menyatakan keraguan berhubung ganjaran mengenai 'tiada kenaikan tol' yang ditawarkan dalam pengambilalihan tersebut.

Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali berkata pengalaman pahit masa lalu ketika kerajaan memutuskan untuk melepaskan aset-aset strategik negara tidak harus diulangi.

Dr Noor Azlan, yang juga Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), berkata sebagai tulang belakang sistem perhubungan negara dengan peranan penting dalam persekitaran ekonomi yang lebih besar, PLUS harus tetap berada di bawah pegangan kerajaan dan tidak tertakluk kepada sebarang usaha pengambilalihan oleh pihak ketiga.

Dalam pada itu, Anuar turut menyentuh langkah kerajaan mengumumkan pemansuhan kutipan tol di empat lebuh raya dengan tiga daripadanya milik PLUS pada pembentangan Bajet 2018, 27 Okt lepas.

"Ini adalah langkah amat berani oleh Perdana Menteri. Ini dapat dilakukan kerana PLUS milik kerajaan menerusi UEM, anak syarikat milik penuh Khazanah Nasional Berhad dan KWSP.

"Malah, walaupun pampasan yang akan dibayar untuk pemansuhan kutipan empat tol itu, ia tetap akan disalurkan balik kepada 14.5 juta pencarum KWSP dalam bentuk dividen," katanya.

Pada pembentangan Bajet 2018, kerajaan bersetuju untuk memansuhkan kutipan tol di Batu Tiga, Shah Alam dan Sungai Rasau di Selangor, Bukit Kayu HItam, Kedah dan Eastern Dispersal Link, Johor.

-- BERNAMA