Pencemaran ammonia: Segerakan pembinaan paip dari Empangan Machap - Maszlee

Pencemaran ammonia: Segerakan pembinaan paip dari Empangan Machap - Maszlee
Dr Maszlee mengucapkan terima kasih kepada pentadbiran terkini yang mampu berusaha untuk menutup tapak pelupusan sampah Ladang CEP1 baru-baru ini. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik berharap kerajaan Johor dapat mempertimbang menyegerakan pembinaan paip dari Empangan Machap bagi mengelak masalah bekalan air bersih daripada terus berlarutan kepada penduduk di kawasannya.

Maszlee yang juga menteri pendidikan berkata buat masa ini sumber bekalan air untuk kegunaan penduduk Simpang Renggam dari Sungai Ulu Benut kini tercemar dan menjejaskan bekalan air bersih kepada mereka.

Beliau juga menyarankan agar Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli (KATS) dan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar & Perubahan Iklim (MESTECC) untuk melihat kepada keperluan bagi memperbaiki kualiti air di Sungai Ulu Benut ini.
“Kerjasama dan tindakan tegas serta serius semua pihak yang terlibat dalam menyelesaikan perkara ini adalah amat dihargai, dan diharapkan satu penyelesaian konkrit dapat dimuktamadkan dalam masa terdekat kerana pihak kerajaan sentiasa mengutamakan kebajikan warga Simpang Renggam.

“Sehingga kini, operasi Loji Rawatan Air (LRA) Simpang Renggam masih lagi tergendala selepas berlaku pencemaran ammonia di peringkat sumber air mentah di Sungai Ulu Benut,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Menurut Dr Maszlee, masalah utama ini berpunca akibat lokasi tapak pelupusan sampah Ladang CEP1 yang terletak di kawasan tidak strategik dan mendedahkan penduduk kepada risiko tidak diingini.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pentadbiran terkini yang mampu berusaha untuk menutup tapak pelupusan sampah Ladang CEP1 baru-baru ini.

Namun, katanya, semasa kerja-kerja pemulihan itu dijalankan, berlaku hujan yang lebat di tapak pelupusan sampah berkenaan yang akan menyebabkan ban tanah yang menampung kolam leachate cell 2 pecah dan melimpah ke Sungai Benut.