Gangguan bekalan air yang memasuki hari ketiga di beberapa kawasan di Lembah Klang dikenal pasti berpunca dari masalah air mentah tercemar.

Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Amin Lin Abdullah berkata pencemaran bahan kimia yang tinggi berlaku di stesen pam air mentah di Jenderam Hilir.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd telah mengadakan lawatan ke stesen terbabit hari ini bagi mengenal pasti penyelesaian yang boleh dilakukan.

Sebelum itu, pada Khamis, Syabas telah menghentikan operasi Loji Rawatan Air Sungai Semenyih akibat pencemaran air mentah.

Antara kawasan terlibat adalah di daerah Petaling, Puchong, Seri Kembangan, Serdang, Bangi dan Sepang yang meliputi Putrajaya.

Dalam hal berkaitan, Syabas mengeluarkan kenyataan mengenai Loji Rawatan Air Sungai Semenyih yang ditutup semula akibat peningkatan parameter pencemaran bau di sungai selepas dibuka dan beroperasi awal pagi tadi.

Penutupan itu menyebabkan gangguan bekalan di Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Petaling.

Amin berkata, segala kesulitan amat dikesali dan pengguna boleh mendapatkan maklumat terkini dan butir-butir kawasan yang terlibat melalui aplikasi telefon pintar 'MySyabas' dan layari laman web www.syabas.com.my.

Pengguna dinasihati agar menghubungi syabas di talian bebas tol 1- 800-88-5252.