Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menggerakkan seramai 13 pegawai psikologi bagi membantu mangsa mengurangkan trauma dan keresahan melampau ekoran pencemaran sisa kimia Sungai Kim Kim dekat Pasir Gudang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bantuan Bencana Daerah Johor Bahru Mohammed Ridha Abdul Kadir berkata inisiatif itu bertujuan mengurangkan kebimbangan mangsa-mangsa pencemaran tersebut.

"Pasukan ini telah mula bertugas di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang sejak Jumaat.

"Inisiatif dan skop tugasan pasukan ini adalah untuk membantu dari sudut intervensi krisis, kaunseling, bimbingan, psiko pendidikan, program atau aktiviti dan sokongan psikologikal," katanya dalam satu kenyataan, di sini, pada Sabtu.

Menurutnya, waktu operasi terbahagi kepada dua syif iaitu 8 pagi hingga 3 petang dan 3 petang hingga 10 malam.

Setakat 3 petang Sabtu, pasukan itu telah memberi bantuan kepada 238 mangsa yang terlibat, kata beliau.

-- BERNAMA