Kerajaan Negeri Selangor akan mengambil tindakan undang-undang yang wajar terhadap entiti yang menjadi punca pencemaran bau di kawasan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih baru-baru ini.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata tindakan itu perlu diambil susulan lokasi dan entiti punca pencemaran itu telah dikenal pasti oleh kerajaan negeri menerusi Jabatan Alam Sekitar.

Beliau berkata, walaupun pencemaran bau itu tidak membahayakan pengguna, namun ia tetap menyebabkan agensi utiliti terlibat terpaksa menghentikan operasi LRA sungai berkenaan buat sementara waktu sehingga berlaku gangguan bekalan air kepada pengguna.

BACA: SPAN diarah siasat pencemaran LRA Sungai Semenyih

"Masalah pencemaran itu kita kesan awal dan ia dapat diselesaikan malah LRA tersebut juga telah kembali beroperasi sepenuhnya semalam.

"Ini adalah pencemaran kali pertama di LRA tersebut sejak kejadian seumpamanya setahun lepas. Walaupun pada asasnya ia tidak membahayakan pengguna, namun kita hentikan juga operasi LRA kerana jika diproses, pencemaran bau itu boleh mengganggu pengguna," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga di sini, hari ini.

BACA: LRA Sungai Semenyih kembali beroperasi

Pada Khamis lepas, operasi LRA Sungai Semenyih terpaksa dihentikan susulan pencemaran bau di sungai berkenaan dikesan berada pada jarak 16km dari muka sauk loji.

Insiden pencemaran bau yang menyebabkan LRA dihenti operasinya menyebabkan 512 kawasan melibatkan 377,141 pelanggan berdaftar di daerah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang terkesan dengan gangguan bekalan air dan tekanan rendah secara berperingkat. -- Bernama