KUALA SELANGOR:Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengenal pasti punca pencemaran di Sungai Selangor yang direkodkan sejak pagi Isnin.

Menurut Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, sampel pencemaran mempunyai bau larutan (solvent) sama seperti kes pencemaran sebelum ini.

"Pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) telah bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Air Selangor dan JAS telah mengenal pasti punca pencemaran bau.

"Untuk makluman, siasatan awal pakar Air Selangor telah dapat mengesan bau seperti sebelum ini iaitu solvent  (pelarut) tetapi siasatan masih dijalankan. Kajian awal mendapati ia berbau solvent," jelasnya.

Menurutnya lagi, ketika ini pihak LUAS sedang melakukan proses selanjutnya bagi meningkatkan kadar pencairan di Sungai Selangor.

"Untuk maklumat, pihak JAS telah membuat penyiasatan terhadap punca, masih dalam siasatan, kita dapat sampel dihantar ke makmal.

"Hampir semua insiden penutupan LRA disebabkan oleh pencemaran bau. Punca pencemaran masih dalam siasatan," katanya dalam sidang media ketika membuat lawatan di Muka Sauk Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 pada Isnin.

Turut hadir, Exco Alam Sekitar Negeri Selangor, Hee Loy Sian.


Sebelum ini dilaporkan, sejumlah 1,196,457 akaun Air Selangor membabitkan 1,292 kawasan di Lembah Klang sekali lagi mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual setelah empat Loji Rawatan Air Sungai Selangor dihenti tugas, ekoran pencemaran sumber air mentah hari ini.

Pencemaran sumber air mentah itu dikesan pada pukul 2 pagi tadi dan menyebabkan henti tugas Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 1, Fasa 2, Fasa 3 dan Rantau Panjang.