Susulan pencemaran udara di Pasir Gudang sejak khamis lalu. pihak berkuasa terus melakukan pemantauan bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

Di sebalik kedukaan itu, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil menghulurkan sumbangan dan bantuan kepada mangsa.

Sumbangan Persatuan Kebajikan Ikhlas Johor Bahru benar-benar menyentuh hati.

Bukan wang ringgit atau tenaga, namun persatuan berkenaan bermurah hati menyumbang 200 biji buah kelapa untuk diminum mangsa pencemaran udara itu.

Menurut Pengerusinya, George Wilson, 47, kelapa-kelapa berkenaan dikirm oleh persatuan berkenaan sebagai usaha membantu memulihkan keadaan mangsa.

Katanya, beliau difahamkan oleh pegawai perubatan bahawa air buah kelapa dapat membantu membunuh virus dalam tubuh manusia.

"Persatuan kami memang lakukan perkara seperti ini demi kebajikan semua pihak dan air kelapa kata doktor boleh membantu membunuh virus dalam badan, sebab itu saya hantar kelapa (ke sini)," jelasnya.

George berkata, kelapa-kelapa berkenaan dibelinya di Pontian pada harga RM2.80 sebiji.

Setiap kelapa itu juga, kata George, akan dihantar dan dibelah sendiri olehnya sebelum diedarkan kepada mangsa dan petugas di pusat pemindahan sekitar Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang.

Sejak kejadian yang tercetus khamis lalu, George dan Setiausahanya, Priscilla Maureen, 43, juga telah menghantar bantuan lain seperti air mineral, makanan selain kelapa.

Sementara itu, pemantauan Astro AWANI di sekitar stadium berkenaan yang juga pusat rawatan awal mendapati tiada mangsa baharu dilaporkan.

Bahkan kegiatan harian masyarakat berjalan seperti biasa, namun rata-rata penduduk menggunakan topeng penutup muka seperti yang disarankan pihak berkuasa.

Turut kelihatan di anggota Unit Pengurusan Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang memantau keadaan di sekitar kawasan terjejas sebelum ini.