Mahkamah Persekutuan hari ini mengekalkan hukuman mati terhadap sembilan warga Filipina yang terbabit dalam pencerobohan bersenjata di Lahad Datu lima tahun lalu, kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif sebulat suara mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan selepas membenarkan rayuan pihak pembelaan supaya hukuman lebih ringan dijatuhkan terhadap semua responden.

Mereka adalah Atik Hussin Abu Bakar, 46; Basad H Manuel, 42; Ismail Yasin, 77; Virgilio Nemar Patulada, 57; Salib Akhmad Emali, 64; Al Wazir Osman, 62; Tani Lahad Dahi, 64; Julham Rashid, 70, dan Datu Amirbahar Hushin Kiram, 54.

Md Raus dalam penghakimannya berkata hukuman mati adalah wajar kepada semua perayu.

“Kami bersetuju dengan keputusan yang dibuat Mahkamah Rayuan sebelum ini.

“Tiada alasan untuk menolak keputusan Mahkamah Tinggi dan Rayun di mana sabitan dan hukuman itu adalah selamat,” katanya.

Semua responden sebelum ini dihukum penjara seumur hayat oleh Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 25 Julai tahun lalu, selepas didapati bersalah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 121 Kanun Keseksaan.

Md Raus yang dibantu Hakim Besar Malaya, Tan Sri Ahmad Maarop; Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum; Tan Sri Ramly Ali dan Tan Sri Azahar Mohamed turut mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan 14 individu daripada pelbagai tuduhan.

Mereka merupakan Kadir Uyung, Lating Tiong, Masir Aidin, Anwar Salib Akhmad, Binhar Salib Akhmad, Salib Akhmad Emali, Abdul Hadi Mawan, Rijmal Salleh, Abdul Majil Jubin, Rizman Gulan, Saidili Jaharul, Totoh Hismullah, Dani Ismail dan Basil Samiul.

Anggota kumpulan pengganas itu disabitkan melakukan kesalahan itu di beberapa tempat berbeza di Kampung Bakau dan Kampung Peringi di Semporna, Kampung Madai di Kunat, Ladang Atlas 2 di Jalan Ulu Tungku dan Kampung Tanduo di Lahad Datu antara 9 Februari 2013 dan 13 Mac 2013.