Seolah 'karma' berbuat dosa di bulan Ramadan, seorang penjenayah parah selepas terjatuh dari tingkat tiga sebuah bangunan apabila cuba melarikan diri daripada dicekup kerana meragut beg tangan seorang wanita dalam kejadian di Api-Api Centre, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 12 tengah hari tadi, suspek berusia 29 tahun itu cedera parah di bahagian dagu dan patah tapak kaki kiri sebelum dikejarkan ke hospital untuk mendapatkan rawatan kecemasan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisoner M. Chandra berkata, siasatan awal mendapati kejadian itu disedari oleh pengawal keselamatan yang bertugas di bangunan tersebut yang terserempak dengan suspek di tangga rintangan berhampiran tingkat empat lokasi berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Jelasnya, ketika itu, pengawal keselamatan turut menyaksikan suspek sedang menyelongkar satu beg tangan wanita berwarna kelabu sebelum menghampirinya lalu meminta lelaki tersebut mengikutinya ke pejabat.

"Namun suspek bertindak melarikan diri dengan terjun daripada tingkat tiga bangunan berkenaan. Tindakan suspek untuk melarikan diri menyebabkannya mengalami kecederaan parah akibat jatuh dari tingkat tiga bangunan berkenaan.

“Sejurus melihat keadaan suspek, pengawal keselamatan itu telah menghubungi pihak polis dan ambulans,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Suspek dikatakan terjun dari tingkat tiga bangunan itu untuk menyelamatkan diri.

Chandra berkata, sebelum suspek dibawa ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) , pihak polis telah melakukan pemeriksaan awal ke atas badan lelaki itu dan menemui sebuah telefon jenama Redmi, satu dompet kecil berwarna coklat dan wang tunai RM45.00 daripada poket seluar sebelah kanan suspek walaubagaimanapun tiada dokumen diri miliknya yang ditemui.

“Pihak polis turut merampas barangan milik mangsa iaitu beg tangan, dompet, kad pengenalan, tanda nama, alatan kosmetik serta kad ATM Maybank dan Public Bank,” katanya.

Berdasarkan siasatan lanjut suspek mempunyai enam rekod jenayah lampau melibatkan kes curi, pencerobohan jenayah dan dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda.