Seorang suspek kes pecah kedai ditemukan mati di dalam longkang di hadapan sebuah stesen minyak di Jalan Jelawat, di sini, kira-kira jam 6.35 petang Ahad.

Mayat lelaki berusia 30 tahun itu dijumpai terbaring di dalam longkang dengan kesan kecederaan di dada, kepala dan pergelangan tangan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata turut ditemukan berhampiran mayat ialah peralatan memotong besi yang dipercayai digunakan untuk memecah masuk kedai.

Menurut Nik Ros Azhan, susulan kejadian itu, polis bertindak menahan seorang lelaki berusia 33 tahun yang dipercayai mempunyai kaitan dengan penemuan mayat berkenaan.

Katanya, lelaki tersebut ditahan selepas beliau tampil membuat laporan polis dan memaklumkan lelaki yang maut itu telah memecah masuk gerai kakaknya.

Bagaimanapun, ketika cuba menghalang perbuatan lelaki tersebut, berlaku pergelutan di antara mereka.

Suspek yang pada ketika itu memegang pemotong besi mengalami kecederaan di dada, kepala dan pergelangan tangan bertindak melarikan diri sebelum mayatnya ditemukan di dalam longkang.

Nik Ros Azhan berkata rakan suspek dipercayai berjaya melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta.

Mayat lelaki yang beralamat di Bertam Indah, Kepala Batas itu kemudiannya dibawa ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk proses bedah siasat.

Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.