Keseronokan seorang remaja perempuan warganegara Denmark yang baru sahaja berjaya menawan Gunung Kinabalu hampir menjadi tragedi selepas dia terseliuh ketika menuruni laluan ke Pintu Timpohon, dalam kejadian di Kundasang, hari ini.

Dalam kejadian jam 11 pagi itu, mangsa mangsa yang dikenali Emilie Clara Gyhrs, 19, dikatakan baru sahaja melakukan pendakian di gunung berkenaan dengan rombongannya awal pagi tadi sebelum insiden terbabit.

Difahamkan ketika cuba menuruni laluan ke Timpohon, kaki kanan mangsa tiba-tiba terseliuh sehingga menyebabkannya gagal meneruskan perjalanan balik dan terpaksa menghubungi bomba dengan bantuan beberapa malim gunung yang bertugas.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah; Khairul Azuwan Ibrahim berkata, sepasukan anggota bantuan mencari dan menyelamat di gunung (MOSAR) kemudiannya bergegas mendapatkan mangsa yang 'tersadai' di kilometer 6.4 berhampiran Gunung Kinabalu.

"Pasukan MOSAR mengangkat mangsa turun ke kawasan Panar Laban menggunakan kaedah piggyback carry dengan bantuan beberapa orang malim gunung dan seterusnya membawa remaja itu turun menggunakan Robinson stretcher dengan selamat sehingga ke Timpohon Gate.

"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada anggota yang menaiki jentera Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) untuk dihantar ke Hospital Ranau," katanya.

Khairul Azuwan berkata, operasi berkenaan berjaya ditamatkan pada jam 12.39 tengah hari tadi.