Pendakwah atau penceramah asing, tidak kira beragama apa sekali pun, yang datang ke negara ini, perlu memahami situasi Malaysia yang mempunyai rakyat majmuk.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, Malaysia mempunyai pendekatan dan cara tersendiri dalam membentuk sebuah negara berbilang bangsa, agama dan budaya, serta dapat mengekalkan keharmonian.

Justeru, tegasnya, pendekatan yang dibawa pendakwah dari India, Dr Zakir Naik, tidak sesuai di negara ini seperti yang pernah beliau nyatakan setahun lalu.

"Kemungkinan pendekatan mereka tidak sesuai dengan pendekatan rakyat Malaysia. Setiap orang luar kena hormat apa yang ada di negara kita kerana kita sudah bina keharmonian sejak dari zaman sebelum merdeka dan selepas merdeka... banyak ujian sudah kita hadapi.

"Saya tidak tuju kepada sesiapa, tetapi orang Islam atau bukan Islam, kena jaga perkara ini," katanya kepada media selepas Majlis Ramah Mesra dan Jamuan Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Kadok di sini, malam tadi.

BACA: "Jumpa di mahkamah" - mesej Kula Segaran pada Dr Zakir Naik

Mujahid menegaskan, kerajaan tidak dapat menerima mana-mana pihak yang datang ke negara ini dan mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh mengugat keamanan serta keharmonian yang terbina selama ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu Zakir yang didakwa mengeluarkan kenyataan kontroversi sewaktu ceramahnya di Kelantan, Khamis lalu.

BACA: Dakwah Dr Zakir tak sesuai di negara ini?

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan, buat masa sekarang semua program ceramah Zakir dihentikan seketika agar tidak mengeruhkan keadaan demi kebaikan bersama.

Dalam pada itu, Mujahid turut mengingatkan ahli politik supaya tidak mengheret isu Zakir ke dalam kancah perkauman dan doktrin agama yang sempit kerana ia akan menimbulkan ketegangan dan berbahaya.

BACA: Polis siasat Dr Zakir Naik

Katanya, semua pihak perlu menyerahkan kepada polis dan kerajaan dalam membuat keputusan terbaik berhubung kedudukan penceramah agama itu kerana keputusan yang bakal dibuat oleh kerajaan pasti mengambil kira semua penilaian yang diberikan.

Pada Jumaat, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan menunggu keputusan siasatan pihak polis sebelum membuat sebarang keputusan terhadap Zakir, termasuk sama ada akan menarik semula atau mengekalkan status penduduk tetap yang diberikan.