Pendedahan rakaman audio perbualan siasatan terhadap 1MDB dan SRC International Sdn Bhd oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) minggu lalu tidak memberi impak kepada kepentingan awam.

Ini kerana menurut Peguam dan Aktivis Sosial, Datuk Jahaberdeen Mohamaed Yunoos, pendedahan tersebut tidak akan membantu memberkas sesiapa sahaja yang melakukan jenayah.

“Hari ini malangnya terdapat salah faham 'di mana kepentingan awam?' - bermakna, apa yang orang awam nak tahu, kepentingan awam bukan untuk fulfill curiosity.

“Jadi apakah impak kepada orang awam dengan pendedahan sembilan audio ini? Dari segi undang-undang, adakah kedaulatan undang-undang dijaga? Jawapannya, tidak.

“Adakah dengan mendedahkan audio ini akan membantu memberkas sesiapa sahaja yang melakukan jenayah? Tidak,” katanya menerusi program Agenda AWANI Plus yang bersiaran Rabu malam.



Jahaberdeen turut menegaskan pendedahan yang dilakukan SPRM itu menyebabkan timbulnya persoalan sama ada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak boleh dipercayai atau sebaliknya.

“Dengan pendedahan itu, timbul persoalan adakah SPRM tidak percaya kepada polis? Saya sebagai rakyat, saya mahu merasa yakin terhadap semua agensi kerajaan.

“Pendedahan ini juga menimbulkan persoalan, adakah audio ini tidak boleh diberikan kepada polis secara terus untuk disiasat,” ujarnya.



BACA: Pendedahan rakaman audio demi kepentingan awam - Latheefa Koya

Pada 8 Jan, SPRM telah memutarkan rakaman audio perbualan yang didakwa kebocoran maklumat daripada Jabatan Peguam Negara kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Razak dan perbualan lain yang dikatakan berkaitan siasatan terhadap 1Malaysia Development Berhad dan SRC International Sdn Bhd.

Klip audio itu dipercayai perbualan yang melibatkan Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad dan beberapa individu lain.