Isu masalah pornografi dalam kalangan remaja dilihat semakin membimbangkan selepas kajian mendapati 35.3 peratus daripada golongan tersebut mudah terdedah kepada bahan-bahan lucah menerusi penggunaan media sosial.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, isu pornografi harus dibendung di peringkat akar umbi khususnya pengawasan keluarga dalam penggunaan internet yang boleh menyebabkan golongan itu terdedah kepada bahan lucah di media sosial.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, untuk itu, langkah saringan haruslah dilakukan di laman web atau gajet telekomunikasi bagi memastikan bahan-bahan pornografi tidak dapat diakses sama sekali.

"Saringan perlulah dilakukan jadi anak-anak tidak senang untuk mengakses laman web yang tidak diingini.

"Kita tahu bahawa pornografi ini memang salah, bukan sahaja daripada segi undang-undang tetapi juga moral kerana tidak memberikan apa-apa kebaikan," katanya dalam sidang media selepas pertemuan tertutup dengan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di kediaman rasmi beliau di Sri Gaya, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapannya ketika merasmikan seminar 'Sekeluarga Tolak Pornografi' (Stop) di Maktab Perguruan Kent Tuaran pagi tadi, Dr Wan Azizah berkata kajian Penduduk dan Keluarga Kelima pada tahun 2014 mendapati 35.3 peratus golongan remaja mudah terdedah kepada pornografi.

Menurutnya, 60.8 peratus golongan berkenaan memperoleh akses laman web pornografi menerusi internet, 35 peratus melalui telefon pintar manakala 20 peratus adalah daripada cakera padat (CD) dan cakera padat video (VCD) lucah.