Kerajaan sarawak mahu membangunkan semula kawasan Samarahan termasuk Simunjan dan Gedong dengan cara baharu yang lebih tersusun.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pihaknya mahu mengubah pendekatan pembangunan di kawasan luar bandar.

Katanya kerajaan telah meluluskan peruntukan RM500 juta untuk membangunkan projek pembinaan benteng di bawah Jabatan Pengairan dan Saliran.

“Pertanian sudah maju tapi air masin masuk.. Kita tidak mahu air laut ini masuk lalu merosakkan tanaman penduduk.

“Sehubungan itu, kita meluluskan RM500 juta untuk membuat benteng di kawasan itu supaya tidak masuk air masin dan untuk pembangunan seluruh samarahan saya beri peruntukan RM1.5 bilion untuk dimajukan dalam masa 2 tahun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Majlis Perasmian Pesta Gedong di Simunjan pada Ahad.

Jelas Abang Johari, perkara sama turut dilaksanakan di kawasan tanah tinggi di sarawak.

Pendekatan baharu itu katanya mahu pembangunan di sarawak dapat dilakukan dengan lebih fokus.