MINGGU ini, dunia dihangatkan dengan rundingan Brexit. Kerajaan Britain diberi tempoh hingga 12 April 2019 untuk melengkapkan rundingan untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU). Keputusan ini menjejaskan sedikit hubungan Britain dan EU selama 44 tahun.

Parlimen Malaysia juga berhadapan dengan perbahasan penting pada minggu ini, apabila Dewan Rakyat membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019, bagi menggantikan Fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan kepada kandungan asal sewaktu pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

Pindaan ini bagi mengembalikan kedudukan Sarawak dan Sabah setara dengan Semenanjung. Ini merupakan pindaan pertama perlembagaan persekutuan dibawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Khamis lalu, Yang di-Pertua Dewan Rakyat (YPDR) telah membenarkan RUU ini dibaca kali pertama berdasarkan Peraturan Mesyuarat (PM) 48, Dewan Rakyat. Tetapi, terdapat suara yang melahirkan rasa bimbang mengenai pindaan ini.

Sudah hampir satu dekad pemimpin berunding dalam hal ini, maka parlimen merupakan institusi terbaik untuk selesaikan isu ini dengan matang selepas dipenuhi dengan retorik politik yang tidak berkesudahan.

Justeru, bagaimana parlimen boleh memastikan RUU ini dibahaskan dengan pendekatan yang lebih matang?

Bawa RUU kepada Jawatankuasa Pilihan Khas!

Ahli parlimen perlu mengeluarkan satu usul kepada Yang DIpertua Dewan Rakyat untuk meneliti RUU kepada jawatankuasa pilihan khas dibawah PM 54.

Peringkat ini membenarkan penglibatan golongan pakar dan orang awam untuk memberi pandangan mengenai perkara yang berkaitan. Setiap bahagian dan klausa RUU diteliti dan diundi oleh ahli jawatankuasa.

Pindaan yang dipersetujui dalam jawatankuasa ini perlu dibentangkan di Dewan Rakyat untuk diputuskan sebelum bacaan kali ketiga.

Menteri yang membawa RUU perlu memberi penjelasan tentang pindaan yang disyorkan oleh jawatankuasa.

Sekiranya menteri enggan menjelaskannya, maka ia akan memberi kesan kepada kelancaran pindaan tersebut.

Jawatankuasa Pilihan Khas berkaitan Hubungan Antara Negeri-Negeri dan Persekutuan atau Menimbang Rang Undang-Undang dilihat mampu menyemak dan mengkaji RUU ini.

Proses ini amalan biasa dalam sistem berparlimen Westminster. Cuma, Malaysia tidak pernah melalui proses jawatankuasa pilihan khas dalam menyemak RUU sebelum ini. Penting sekali ahli parlimen menggunakan peluang ini untuk menyemak RUU yang penting buat Sarawak dan Sabah.

Jawatankuasa pilihan khas parlimen bukan hanya memberi cadangan pindaan RUU tersebut, malah lebih dari itu. Mereka juga boleh melakukan kajian dan laporan untuk menambah baik keputusan rundingan badan eksekutif. Ia akan menambah pelbagai pandangan daripada orang awam dan pakar yang tidak dapat mendapat peluang membentangkan pendapat kepada badan eksekutif.

Dewan Negara sebagai ‘suara kedua’

Dewan Negara boleh menjadi ‘suara kedua’ dalam menyemak RUU ini. Berdasarkan perkara 45, Jadual Ketujuh, perlembagaan persekutuan, ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) telah memilih dua orang Senator mewakili mereka ke Dewan Negara.

Senator mempunyai tugas untuk mempertahankan kepentingan negeri dalam Dewan Negara. Mereka perlu memastikan setiap dasar kerajaan persekutuan tidak bercanggah dengan kepentingan negeri. Dalam konteks ini, Senator dari Sabah dan Sarawak, khususnya, perlu meneliti dan menyemak RUU ini.

Mereka boleh membawa isu ini untuk pengetahuan DUN dan mengeluarkan beberapa cadangan. Hubungan Senator dan negeri ini amat berkesan untuk menentukan sama ada pindaan RUU ini disokong atau sebaliknya.

Dewan Negara boleh menubuhkan Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Negeri dan Persekutuan dalam meneliti RUU ini. Kuasa ini diberikan berdasarkan PM Dewan Negara 74 (1) dan (2).

Pihak Dewan Negara boleh memulakan proses perbincangan ini lebih awal, memandangkan sidang mereka hanya akan bermula pada 22 April 2019.

Mereka juga boleh menggunakan kuasa ‘melengahkan’ RUU ini sekiranya pindaan RUU yang diluluskan Dewan Rakyat mempunyai kelemahan yang perlu disemak semula.

Perlu diselesaikan dengan matang

Perbincangan mengenai hak Sarawak dan Sabah perlu dibawa ke parlimen untuk dibahaskan secara terbuka dan saksama. Sebelum ini, terdapat beberapa Jawatankuasa ditubuhkan oleh kerajaan persekutuan, Sabah dan Sarawak untuk membincangkan perkara ini. antaranya

1. Jawatankuasa Pelaksana Pihak Berkuasa Sabah dan Sarawak
2. Jawatankuasa Pemandu
3. Jawatankuasa Teknikal Peringkat Persekutuan
4. Jawatankuasa Perundingan MA63
5. Jawatankuasa Kabinet MA63

Semua jawatankuasa ini ditubuhkan oleh badan eksekutif tanpa melibatkan wakil rakyat di peringkat parlimen mahupun DUN. Situasi ini menggambarkan dominasi badan eksekutif (Jemaah Menteri Persekutuan, Sarawak dan Sabah) dalam rundingan ini tanpa melibatkan badan perundangan.

Dominasi ini menyebabkan segala informasi tentang rundingan hak Sabah dan Sarawak sukar diketahui orang awam, sehingga telah menimbulkan polemik sesetengah pihak. Justeru, perbahasan dan perbincangan di peringkat parlimen ini dapat memberi maklumat yang lebih terbuka.

Secara tidak langsung, ia telah mengurangakan statuts ‘eksklusif’ rundingan ini, kepada pendekatan yang lebih menyeluruh dan saksama. Sekurang-kurangnya, fungsi parlimen sebagai institusi rakyat dapat diangkat sama tahapnya dengan badan eksekutif.

RUU pindaan perlembagaan perlu dilihat dalam konteks untuk mengembalikan semangat persekutuan. Malah, pindaan ini boleh menjadi langkah awal dalam menjaga keakraban antara wilayah seperti yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Pindaan ini tidak menandakan berakhirnya isu MA63, tetapi ia satu permulaan bagi memperkukuhkan rundingan, khususnya aspek ekonomi dan agihan kekayaan yang berkesan untuk Sarawak dan Sabah sebagai rakan sekutu.

Isu ini seharusnya menjadikan kita lebih dewasa sebagai sebuah persekutuan yang sudah menjangkau 56 tahun pembentukannya. Maka, peneyelesaian yang saksama dan matang perlu menjadi asas kepada memperkasakan semula hak Sabah dan Sarawak.