PELANTIKAN Lathefa Koya sebagai Ketua Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPRM) mengundang pelbagai reaksi.

Ramai berpendapat proses ini bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan kerana ia dilantik secara terus oleh perdana menteri tanpa melalui sebarang proses menerusi institusi Parlimen.

Lebih penting sekali apabila orang awam melihat Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen tidak bertindak pantas dalam menguruskan hal ini, menyebabkan pertikaian politik kepartian berlaku.

Jelas menunjukkan rakyat sedar kepentingan sistem semak dan imbang Parlimen terhadap keputusan kerajaan kian meningkat.

Dalam kes ini, Jawatankuasa Pilihan Khas Untuk Melantik Jawatan-Jawatan Utama Perkhidmatan Awam memainkan peranan penting.

Secara ringkasnya, badan ini akan menyemak calon yang dilantik oleh menteri untuk mengisi jawatan penting kerajaan. Mereka perlu memastikan proses telus dan calon berkeupayaan dalam menjalankan tugas.

Jawatankuasa ini tidak mempunyai kuasa untuk menolak dan meluluskan sesuatu pelantikan. Mereka bertindak sebagai ‘panduan’ kepada menteri dalam membuat keputusan lantikan dengan mengeluarkan sebuah laporan akhir tentang calon tersebut.

Hanya jawatan utama sahaja yang disemak oleh jawatankuasa, bukan semua. Dalam Buku Harapan, Janji 14 dan 16 jelas menerangkan beberapa jawatan penting kerajaan yang memerlukan semakan daripada Parlimen seperti; Pengerusi dan ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, Pengerusi SPRM dan Pengerusi SUHAKAM.

Walaubagaimanapun, jawatankuasa ini bukan sahaja tidak melakukan proses kajian dalam lantikan Ketua SPRM lebih awal, tetapi tidak bertindak dalam menyemak proses pelantikan keenam-enam ahli SPR yang diumumkan kerajaan awal tahun 2019.

Jelas membuktikan jawatankuasa ini perlukan pembaharuan dan sistem yang berkesan dalam menjalankan peranan mereka.


Pre-Appointment Hearing (Pendengaran Pra-Pelantikan)

Salah satu aspek awal yang boleh dilaksanakan oleh jawatankuasa ini adalah dengan melaksanakan Pre-Appointment Hearing (Pendengaran Pra-Pelantikan).

Parlimen United Kingdom (UK) melalui Public Administration Select Committee telah menerbitkan sebuah laporan bertajuk Pre-Appointment Hearings: Promoting Best Practices pada tahun 2017.

Laporan ini melihat amalan pendengaran sebelum lantikan ini adalah yang terbaik untuk jawatankuasa pilihan khas Parlimen UK dalam meneliti calon yang dipilih oleh menteri kabinet.

Parlimen UK telah laksanakan pendekatan ini pada tahun 2008 dan sehingga bulan Mei 2018, sebanyak 120 pendengaran pra-pelantikan dilakukan berbanding 2,331 lantikan baharu dan lantikan semula dibuat oleh menteri untuk 300 agensi kerajaan.

Calon yang dipilih oleh menteri berpeluang menerangkan tugas dan objektif lantikan mereka di hadapan jawatankuasa sebelum menjalankan tugas.

Ahli jawatankuasa boleh mengemukakan soalan kepada calon untuk menyemak ketelusan dan kemampuan individu tersebut.

Selepas fasa ini selesai, jawatankuasa perlu mengemukakan laporan dan syor kepada menteri tentang dapatan mereka mengenai calon tersebut.

Pihak jawatankuasa perlu mengeluarkan laporan dan memberi pandangan tentang calon. Sekiranya penilaian jawatankuasa melihatnya positif, maka ia memberi kelebihan kepada calon dilantik dan menteri sendiri. Jika dapat laporan tersebut negatif, maka ia akan memberi kesan kepada kredibiliti calon dan menteri.

Pendekatan ini harus diambil oleh jawatankuasa untuk menyemak setiap pelantikan yang dilakukan oleh menteri di Malaysia.

Ia secara langsung melihat peranan Parlimen yang lebih berpengaruh dalam memastikan lantikan menteri tersebut tidak mempunyai konflik berkepentingan dan meragukan.


Jika Menteri Meneruskan Lantikan

Sebelum laporan ini didedahkan kepada orang awam, pihak jawatankuasa akan memberi laporan tersebut terlebih dahulu kepada menteri berkenaan.

Ini bagi membolehkan perbincangan dilakukan tentang sesuatu pelantikan, terutama sekali apabila laporan tersebut mengeluarkan hasil negatif kepada calon.

Setiap keputusan jawatankuasa ini mempunyai kesan tersendiri kepada orang awam dan pentadbiran kerajaan. Kebiasaanya, menteri akan membuat keputusan muktamad selepas melihat laporan tersebut.

Menteri perlu memberi hujah yang kukuh sekiranya ingin meneruskan pelantikan walaupun laporan tersebut menyatakan sebaliknya.

Namun, jika menteri gagal melakukan sedemikian, pihak jawatankuasa perlu mengeluarkan satu usul untuk dibahaskan oleh ahli Parlimen tentang keputusan menteri meneruskan pelantikan tersebut.

Dalam laporan Pre-Appointment Hearings: Promoting Best Practices pada tahun 2017, terdapat satu cadangan untuk melaksanakan perdebatan selama 90 minit terbuka untuk ahli Parlimen sekiranya menteri menolak laporan negatif daripada jawatankuasa pilihan khas lantikan terhadap calon yang ingin dilantik menteri.

Ruang ini sebagai satu peluang bagi menteri meyakinkan ahli Parlimen bahawa calon yang dipilih mempunyai kredibiliti dan kemampuan menjalankan tugas. Ini juga satu pendekatan terbuka dan telus untuk memastikan proses pelantikan mendapat mandat daripada Parlimen.

Saya fikir pendekatan ini mampu memberi permulaan yang baik kepada jawatankuasa sekiranya mereka benar-benar mahu memastikan proses lantikan calon dalam jawatan-jawatan penting kerajaan selepas ini lebih terbuka, berstruktur dan berkesan.


Hak untuk menyiasat dan melapor

Ahli jawatankuasa meneliti pelantikan jawatan utama dalam perkhidmatan awam seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan dan pendirian sebelum proses semakan dimulakan untuk memastikan integriti dan profesionalisme jawatankuasa menjalankan tugas tanpa konflik berkepentingan.

Namun, dalam isu lantikan Ketua SPRM yang baharu ini, pengerusi jawatankuasa pilihan khas melantikan jawatan utama kerajaan telah mempersoalkan lantikan tersebut sebelum sebelum proses jawatankuasa pilihan khas berlangsung. Ini telah mengundang pandangan politik melebihi hujah berdasarkan merit individu tersebut.

Ketua baharu SRPM telah dipanggil ke jawatankuasa ini pada 20 Jun 2019. Maka, jawatankuasa perlu menyediakan laporan lengkap tentang dapatan mereka tentang kemampuan calon.

Menteri perlu memberi maklumbalas ke atas laporan itu, kemudian ia perlu diterbitkan kepada orang awam demi memastikan perjalanan proses ini telus. Laporan tersebut boleh dimuatnaik di laman rasmi Parlimen Malaysia.

Pihak menteri perlu memberi kerjasama dalam proses jawatankuasa pilihan khas, selari dengan Perkara 43 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Walaupun ada pihak yang menyatakan lantikan ini dibawah kuasa prerogatif menteri dan Perdana Menteri, tetapi mereka harus sedar bahawa Parlimen yang memberikan kuasa lantikan tersebut kepada menteri dengan meluluskan sesuatu akta.

Sebelum usaha membenarkan Parlimen melantik individu dalam jawatan penting perkhidmatan awam, adalah lebih penting bagi membina satu asas dan amalan yang telus dan berkesan, seperti penambahbaikan praktis jawatankuasa pilihan khas untuk mencapai matlamat yang disasarkan, iaitu memperkukuhkan demokrasi berparlimen Malaysia.