Proses pendengaran kes berhubung hak eksekutif minyak dan gas antara Petronas dan Kerajaan Negeri Sarawak yang dijadualkan 12 Jun di Mahkamah Persekutuan ditangguh kepada tarikh baharu, 21 Jun ini.

Pejabat Ketua Menteri dalam kenyataannya lewat hari ini memberitahu, penangguhan itu dimaklumkan pegawai Mahkamah Persekutuan kepada pasukan Jabatan Peguam Negara (SAG) negeri Sarawak menerusi panggilan telefon petang tadi.

Menurutnya, Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan permintaan penangguhan pendengaran kes yang difailkan Peguam Negara Persekutuan (FAG).

"Penangguhan itu juga bagi membolehkan beliau (FAG) mempertimbangkan sama ada Kerajaan Persekutan perlu masuk campur dalam kes tersebut.

"Bagaimanapun, Kerajaan Negeri menyatakan kekecewaan terhadap penangguhan yang dibuat secara tiba-tiba," kata kenyataan itu.

BACA: Pasukan perundangan ikrar bantu kerajaan Sarawak berdepan isu Petronas

BACA: Petronas fail permohonan perjelas PDA 1974


Tambahnya, penangguhan tersebut dilulus tanpa mengambil kira kehadiran pasukan SAG di Mahkamah Persekutuan.

Sarawak diwakili barisan peguam SAG telah bersiap sedia untuk proses pendengaran kes mengikut jadual asal, malah telah menghantar semua dokumen berkaitan, termasuk afidavit yang akan digunakan dalam sesi berkenaan.

Pada 4 Jun lalu, Petronas memfailkan permohonan di Mahkamah Persekutuan untuk mendapatkan pengisytiharan mengenai Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA) sebagai undang-undang terpakai bagi industri petroleum di Malaysia.

Menurut syarikat minyak dan gas nasional itu, ia adalah pemilik eksklusif sumber petroleum, serta pengawal selia industri huluan di seluruh Malaysia termasuk di Sarawak.

Perkara itu disahkan Jabatan Peguam Besar Sarawak yang mengakui menerima notis daripada Pendaftar Mahkamah Persekutuan bahawa kerajaan negeri menjadi parti dalam saman dikemukakan Petronas itu.

Menteri Muda Perundangan, Hubungan Negeri-Persekutuan dan Pemantauan Projek, Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, dipetik berkata, permohonan bagi kebenaran merayu akan dibuat.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Openg pada 6 Mac lalu mengumumkan kuasa kawal selia Sarawak ke atas minyak dan gas negeri itu.

Bagaimanapun Pakatan Harapan Sarawak, menerusi Pengerusi DAP negeri Chong Chieng Jen berkata pengumuman itu hanya omong kosong cuba mengaburi rakyat negeri itu kononnya berlaku "penurunan kuasa".

Sedangkan, kata Ahli Parlimen Stampin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Sentosa itu, kawalan dan faedah utama minyak dan gas kekal di tangan Kerajaan Persekutuan.

Chong berkata, sehingga kini, Sarawak masih menerima hanya 5% royalti minyak dan gas.

Pada masa sama, Pakatan Harapan berjanji memberikan royalti minyak dan gas 20%, apabila ia menawan Putrajaya dalam Pilihan Raya Umum ke-14 baru-baru ini.