Sekumpulan ibu bapa merancang untuk mengadakan satu perhimpunan di Taman Jaya, berhampiran Amcorp Mall, Sabtu ini untuk mendesak kerajaan memulihkan sistem pendidikan yang didakwa “dalam keadaan tenat”.

Kumpulan yang menggelarkan diri mereka ASPIRES (Persatuan Ibu Bapa dan Individu Ke Arah Menyemak Semula Sistem Pendidikan), iaitu penganjur utama protes tersebut, beranggapan masa depan anak-anak berada dalam keadaan terancam dan perhimpunan terpaksa diadakan setelah pandangan mereka tidak diendahkan.

Antara tuntutan yang digariskan ASPIRES:


"Kebanyakan ibu bapa yang akan membuat bantahan bukan di kalangan mereka yang gemar membuat kacau atau memberontak. Ramai yang datang dari jauh juga adalah terdiri dari kakitangan awam yang bermungkinan akan dikenakan tindakan disiplin. Kami hanya bimbang dengan masa depan pendidikan negara ini,” kata pengasas ASPIRES, Shamsudin Hamid kepada Astro AWANI .

"Bahasa Inggeris adalah bahasa lingua franca dunia. Kami berjuang untuk PPSMI dikembalikan kerana bagaimana mungkin untuk kita menggantikan satu dasar pendidikan mengenai ilmu dengan satu lagi dasar yang semata-mata memberi tumpuan kepada bahasa? "

"Bagi isu IGCSE pula, bagaimana kita boleh mempunyai dua sistem persekolahan berbeza yang dilaksanakan serentak antara satu sama lain? Bagaimana kita boleh mempunyai dua Kementerian iaitu Kementerian Kemajuan Luar Bandar yang mengendalikan MRSM manakala Kementerian Pendidikan untuk sekolah-sekolah menengah kebangsaan? Pendidikan perlu diselaraskan di peringkat nasional ," kata Shamsudin .

Shamsudin berkata bahawa mereka yang belajar di bawah sukatan pelajaran IGCSE mempunyai peluang pekerjaan yang lebih baik.

"Majoriti ibu bapa, terutama di bandar, merasakan mereka telah dipinggirkan menerusi pelaksanaan dasar-dasar ini . Kami menegaskan bahawa peluang untuk belajar mengikuti program IGCSE perlu diberikan kepada semua," kata Shamsudin.

Shamsudin juga berpendapat jawatan Menteri Pendidikan seharusnya disandang oleh mereka yang bukan dari golongan ahli politik sambil mendakwa sistem pendidikan negara sedang dipolitikkan.

Sebaliknya dia mencadangkan agar seseorang berlatar-belakangkan pendidik menduduki jawatan penting itu.

"Polisi pendidikan harus dilihat secara holistik. Polisi berkaitannya tidak boleh dibuat berdasarkan populariti undi pilihan raya sahaja. Sekiranya PEMANDU boleh diterajui oleh tokoh korporat, kenapa kementerian Pendidikan tidak boleh dipimpin oleh pendidik atau ahli akademik?"