Seorang mahasiswa mencadangkan supaya pelajar diwajibkan lulus subjek pendidikan sivik dan kewarganegaraan pada peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai syarat memasuki universiti tempatan.

V Ganesan dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata cadangan itu adalah bagi memupuk semangat patriotisme dan mencapai perpaduan di sebalik perbezaan kaum dan agama seiring dengan pelaksanaan Transformasi Nasional 2050 (TN50).

"Sebelum ini subjek sivik dan kewarganegaraan tidak diajar sebagai mata pelajaran teras sehingga menyebabkan sesetengah pelajar menganggap subjek itu sebagai sesuatu yang remeh serta menyebabkan hubungan antara kaum renggang.

"Sekiranya subjek ini diberi keutamaan, saya pasti tidak ada lagi kekeliruan berlaku apabila pelajar lebih memahami dan mendalami tentang budaya serta agama kepelbagaian kaum di negara ini, sekali gus mewujudkan rakyat berbilang kaum yang erat menjelang 30 tahun akan datang," katanya ketika membahaskan usul pada program Persidangan Parlimen Mahasiswa di sini hari ini.

Sebagai contoh katanya, beliau sebagai seorang beragama Hindu turut mendalami sejarah Nabi Muhammad S.A.W yang begitu dekat dengan umat Islam bagi memahami dengan lebih dekat pegangan agama suci itu.

Ganesan berkata demikian bagi menyokong usul pada persidangan hari terakhir Parlimen Mahasiswa yang dibawa oleh Muhammad Al-Razi Muhaiedin dari Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) yang mahu mahasiswa dan kepimpinan pelajar universiti mengambil tanggungjawab untuk bersama-sama kerajaan dalam membina bangsa cemerlang seiring pelaksanaan TN50.

Selain itu beliau turut mencadangkan agar Kementerian Pengajian Tinggi menawarkan subjek pembelajaran bahasa-bahasa minoriti di univeristi tempatan bagi meningkatkan keupayaan pelajar dalam mendalami kepelbagaian bahasa.

"Cadangan ini adalah bagi memelihara bahasa dan tulisan kaum minoriti di Malaysia seperti bahasa Tamil, Mandarin, Iban serta tulisan Jawi selain memberi peluang sama rata kepada bangsa minoriti terus mempelajari bahasa ibunda mereka.

"Universiti tempatan mahupun swasta tidak boleh meletakkan kuantiti pelajar sebagai faktor utama untuk menawarkan subjek tersebut kerana bahasa minoriti ini bukan hanya untuk kaum tertentu sebaliknya ia turut dipelajari oleh bangsa lain di negara ini," katanya.

-- BERNAMA