Pendigitalan perkhidmatan kerajaan dilihat dapat mempercepat urusan serta mengurangkan keperluan rakyat untuk berkunjung ke kaunter agensi kerajaan, kata Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Mohd Zuki Ali.

Justeru, beliau berkata pengurangan atau penutupan kaunter di agensi kerajaan dapat dilakukan kerana rakyat boleh mendapatkan perkhidmatan melalui dalam talian.

"Pendigitalan juga boleh mengenal pasti perkhidmatan yang boleh dinaik taraf kepada perkhidmatan dalam talian secara 'end-to-end' (hujung ke hujung) melalui penambahbaikan proses, proses peningkatan kemahiran, sumber manusia, kajian peraturan dan polisi seterusnya menggunakan teknologi digital.

"Penjawat awam yang terlibat dengan pengurangan atau penutupan kaunter dapat diberi kemahiran baharu dan dipertingkatkan kemahiran mengikut keperluan," katanya dalam wawancara bertulis semalam.

Tambah beliau, melalui pendigitalan proses kerja dapat dilaksanakan oleh penjawat awam secara dalam talian pada bila-bila masa dan di mana sahaja.

Jelasnya, sesetengah proses berkenaan boleh dilaksanakan secara automasi oleh sistem penyampaian perkhidmatan, sekali gus dapat memberi perkhidmatan yang cekap dan cepat kepada rakyat.

Sementara itu, Mohd Zuki berkata kerajaan telah menyasarkan untuk mencapai 40 peratus bagi perkhidmatan dalam talian secara 'end-to-end'.

"Kerajaan berpeluang untuk menyemak semula semua KPI (petunjuk prestasi utama) sedia ada sebagai usaha menyesuai dan mendayakan semua agensi sektor awam bagi mencapai hasrat mempercepat dan mempermudah perkhidmatan kepada rakyat mengikut kebiasaan baharu pasca pandemik COVID-19," katanya.

Katanya, inisiatif di bawah PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) bertujuan untuk menggalakkan pembentukan lebih banyak kemudahan agar orang ramai dan ahli perniagaan dapat berurusan dengan pihak kerajaan dalam talian.

"(Sebagai contoh) ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kebanyakan perniagaan tidak dapat meneruskan aktiviti mereka akibat penutupan pejabat kerajaan.

"Ke arah meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam, kerajaan komited ke arah usaha yang lebih gigih untuk pendigitalan perkhidmatan dan proses kerja," katanya.

-- BERNAMA