Wira Perkasa Malaysia kesal terhadap Pemuda PAS kerana menyebelahi tauke balak berbanding dengan Orang Asli yang tertindas.

Sepatutnya Pemuda PAS lebih lantang mempertahankan kaum yang tertindas daripada tauke balak yang hanya memikirkan keuntungan semata-mata. Selain itu, mereka harus mempamerkan imej baik kerana membawa bayangan parti yang melaungkan slogan 'Membangun Bersama Islam'. Islam tidak pernah mengajar untuk menindas kaum yang lain dan jauh sama sekali bangunnya Islam kerana menindas.

Pemuda PAS juga perlu berhenti menuduh seakan ada pihak luar menghasut Orang Asli yang menyebabkan mereka membuat bantahan. Tindakan ini memperlihatkan Kerajaan Negeri Kelantan kehabisan modal dan ingin mengasingkan diri daripada masalah yang telah mereka lakukan. Sekarang ini rakyat sudah pandai menilai. Sewajarnya kerajaan Negeri Kelantan mencari solusi bukan meletakkan kesalahan itu kepada orang lain.

Kami juga menggesa supaya Pemuda PAS lebih prihatin terhadap alam sekitar. Alam sekitar adalah aset yang penting untuk kelastarian kehidupan kepada makhluk di muka bumi ini. Menjadi satu kewajipan kepada umat Islam menjaga dan memelihara alam sekitar. Dalam soal ini Pemuda PAS harus sedar kelangsungan masa hadapan lebih penting dan bernilai daripada keuntungan yang sedang diraih kini hasil pencerobohan ke atas Orang Asli.

Sempena musim tengkujuh ini kami ingin mengajak masyarakat untuk kembali mengingati tragedi hitam yang pasti tidak dapat kita lupakan iaitu banjir besar pada tahun 2014. Banjir ini popular dengan nama 'Bah Kuning' kerana warnanya yang kuning akibat lumpur yang terhakis daripada pembalakan yang tidak terkawal.

Kami tidak mahu bencana yang menyayat hati ini terus berulang kerana kerakusan, kezaliman dan penindasan yang telah dilakukan menjadi sebab utama.

Akhir kata, kami Wira PERKASA ingin bertanya kepada Pemuda PAS tidak malukah kalian menghalalkan pencerobohan yang mengundang bencana maha dahsyat di atas negeri ini? Adalah menjadi tanggungjawab setiap umat manusia untuk memelihara alam sekitar ini kerana kita telah diamanahkan melalui sabda Rasulullah SAW yang membawa maksud "Dunia ini hijau dan cantik dan Tuhan telah melantik kamu sebagai pengurusnya. Dia melihat apa yang kamu lakukan." (Hadis riwayat Muslim). Kebajikan dan hak Orang Asli perlu dipertahan, bukan ditindas dan dizalimi.

Mohamad Shahiran Safwan Che Mohd Asemari
Naib Wira Perkasa Malaysia