Penduduk di penempatan Bukit Malut mendakwa kehadiran orang luar dari kawasan tersebut terutama penagih penagih dadah sedikit sebanyak telah memburukkan nama kawasan terbabit.

Kedudukan Bukit Malut yang berhampiran pesisiran pantai selain kewujudan kawasan paya bakau menjadikan penempatan terbabit sebagai pusat atau hab kepada para penagih untuk melakukan aktiviti tidak bermoral.

Menurut imam Masjid Bukit Malut, Abdul Rahman Abdullah, 55 tahun, persatuan penduduk telah melakukan pelbagai alternatif bagi menghalau kesemua ‘mat gian’ atau penagih dadah dari bertapak di kawasan penempatan yang didiami mereka.

Namun, ia ibarat seperti mencurah air di atas daun keladi, memandangkan aktiviti penyalahgunaan dadah tetap akan berlaku dan mungkin akan bertambah walaupun pelbagai cara, taktik dan aduan telah dilakukan.

Tambah Abdul Rahman, penduduk turut menzahirkan rasa risau mengenai kemungkinan berlaku perkara yang tidak ingini terutama kepada golongan wanita dan kanak kanak.

"Halau sudah, larang sudah. Setahun dahulu kita dah halau habis, mereka semua lari. Kita buat sekali dengan polis. (Kemudian) mereka semua sudah tiada, (tetapi) lepas itu mula balik yang jadi tahap dia bahaya macam ini,” ujar Abdul Rahman.

Sementara itu, bagi Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Sungai Tepa, Hashim Abd Rahman, menjelaskan pihaknya turut kerap menjalinkan kerjasama dengan pihak polis dan agensi penguatkuasaan lain bagi menangani masalah gejala sosial serius di kawasan itu.

Tambahnya, dia berharap agar semua pihak tidak terus menuding jari dan menyalahkan majoriti penduduk Bukit Malut atas kes-kes yang berlaku di penempatan terbabit memandangkan majoriti pelakunya adalah orang luar.

Terbaru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengesan sekurang-kurangnya tujuh kawasan di Pulau Langkawi dipercayai menjadi lokasi penyalahgunaan dadah membabitkan pelbagai latar belakang individu..

Menurut Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Kamaruzaman Mamat, menjelaskan kesemua lokasi terbabit adalah di Bukit Malut, Pulau Tuba, Padang Matsirat, Taman Nilam, Kuah serta Kuala Teriang.