Kehadiran seekor harimau belang yang dipercayai berada berhampiran kawasan Perumahan Rimbunan Kasih, Rantau Abang, di sini menggusarkan penduduk tempatan.

Penduduk mendakwa kelibat Pak Belang berkenaan sering dilihat berhampiran kawasan semak tidak jauh dari kediaman mereka.

Seorang penduduk, Nor Ras Jariaziah Mohd Jamil berkata, haiwan berkenaan dilihat pada jarak yang dekat kira-kira jam 7.20 petang Ahad lalu.

Katanya, ketika keluar untuk menutup cermin keretanya, dia dikejutkan dengan bunyi ranting kayu yang patah seperti dipijak sesuatu.

“Setelah menoleh ke semak berhampiran, saya ternampak seekor harimau. Ketika itu, memang takut, sebelum haiwan berkenaan menghilang di kawasan semak,” katanya.

Nor Ras Jariaziah berkata, sejurus selepas itu dia terus melarikan diri masuk ke dalam rumah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Ahmad Zailani Yaacub mengingatkan penduduk supaya tidak mengambil tindakan sendiri dan mengelakkan dari menjalankan aktiviti di kawasan pinggir hutan Jambu Bongkok.

Jelasnya, pihaknya telah melaporkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) supaya mengambil tindakan segera mengatasi isu berkenaan.