Penduduk kaum India Kampung Sungai Yu menggesa Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menarik semula pemberian kesemua 153 lot tanah yang diagihkan menerusi skim rancangan tanah kampung tersebut.

Ini kerana mereka mendakwa berlaku amalan nepotisme dan salah guna kuasa dalam pengagihan lot tanah penempatan semula kawasan itu yang didakwa didalangi seorang Exco kerajaan negeri.

Presiden Persatuan Progresif India Malaysia (Mipas), Rajaretinam Armuggan, yang bersama penduduk kaum India Kampung Sungai Yu, mendakwa sebahagian daripada lot tanah-tanah tersebut diagihkan kepada 'kroni' iaitu mereka yang rapat dengan Exco tersebut.

Penduduk berharap selepas tindakan pembatalan penyerahan kesemua lot tanah terbabit dibuat, ia diagihkan semula dengan adil dan telus kepada mereka yang benar-benar berhak. - Foto Astro AWANI / Israr Khalid
Tindakan itu menyebabkan penduduk asal yang rata-ratanya miskin tidak mendapat hak mereka.

"Pembantu peribadinya dapat tanah, pemandu peribadinya dapat tanah, ahli majlis tempatan dapat tanah, ada dua orang doktor pun dapat, malah usahawan yang sudah bergelar jutawan pun dapat tanah.

"Rata-rata mereka ini bukan penduduk asal kawasan ini, malah ada yang tinggal di Johor dan Kedah tersenarai sebagai penerima!," katanya dalam satu sidang media yang diadakan di Jalan Kampung India Sungai Yu di sini hari ini.

Mengikut kriteria yang ditetapkan Pejabat Tanah dan Galian Selangor, mereka yang layak menerima lot tanah yang bernilai sekitar RM130,000 itu adalah mereka yang berketurunan India, seorang warga asal Kuala Selangor, berusia 30 tahun dan ke atas, berpendapatan bawah RM3,000, serta tidak memiliki sebarang hartanah.

Kata peguam yang mewakili penduduk, M. Manoharan, senarai penerima bagi setiap 153 lot tanah yang dirahsiakan menguatkan lagi dakwaan bahawa wujud unsur jenayah rasuah dalam hal ini.

Nama-nama penerima hanya diketahui ketika majlis penyerahan pada 19 Ogos lalu yang disempurnakan Mohamed Azmin, dan pihak penduduk mendapati ada nama-nama yang berkaitan dengan orang kenamaan kawasan tersebut.

"Mengapa seorang ahli jawatankuasa Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Selangor mendapat sembilan lot tanah di bawah namanya dan juga ahli keluarga serta saudara maranya?," soalnya.

Maklum Manoharan, surat telah diutus kepada pejabat Menteri Besar untuk tindakan segera selain membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menyiasat perkara ini.

Selain itu, surat turut diserah kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, Hannah Yeoh supaya dapat menggerakkan siasatan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat).

Apa diharapkan penduduk adalah selepas tindakan pembatalan penyerahan kesemua lot tanah terbabit dibuat, ia diagihkan semula dengan adil dan telus kepada mereka yang benar-benar berhak.

Ada juga penduduk yang mencadangkan supaya dibangunkan projek perumahan rakyat di tanah-tanah tersebut untuk didiami mereka.

"Kita berharap ada sinar harapan untuk para penduduk India Kampung Sungai Yu menjelang Deepavali ini," kata Rajaretinam.