Penduduk di sebuah kejiranan Kondominium Putramas 1 di Jalan Kuching di sini lega apabila sebuah kotak berbalut plastik hitam yang ditemui di atas pokok disahkan bukan bom seperti yang disangka pada awalnya.

Ketua Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur, Samsol Maarif Saibanim ketika mengesahkan perkara itu berkata pihaknya telah menyerahkan kes berkenaan kepada unit pemusnah bom Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang kemudiannya tiba di lokasi untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Komander Operasi Kanan Bomba Kuala Lumpur PBK II Zakaria Yusuf mengesahkan bahawa pihak polis sudah mengesahkan bahawa bungkusan itu tidak mengandungi apa-apa bahan berbahaya seperti yang dibimbangkan.

"Ia hanya sebuah kotak yang biasa digunakan oleh pemancing namun tidak mempunyai isi dan dibungkus kemas dalam bungkusan plastik," ujarnya.

Sebelum itu, menurut Zakaria, sebaik sahaja jentera tiba di lokasi tersebut kira-kira jam 5.30 petang, pihaknya menemui sebuah kotak yang dibalut dengan plastik hitam di atas pokok dengan di bahagian bawahnya terdapat silinder gas yang disyaki mengandungi bahan letupan.

jentera
Unit pemusnah bom turut berada di lokasi kejadian. - Foto Astro AWANI/Imran Ismail
Bungkusan disangka bom
Kedudukan kotak berbalut plastik hitam yang telah menimbulkan kekecohan. - Foto Astro AWANI/Imran Ismail