Penduduk di lima negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang, Sabah dan Sarawak diminta bersedia menghadapi banjir yang dijangka berlaku dalam tempoh Januari sehingga Mac.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan ramalan cuaca hujan lebat mungkin berlaku di kesemua negeri tersebut dalam tempoh tiga bulan ini.

Katanya, bagi menghadapi musim tengkujuh yang dijangka akan berlaku dalam tempoh tiga bulan, penduduk diminta sentiasa bersedia.

“Kerajaan Persekutuan akan terus memantau dan membantu lima negeri berkenaan yang diketuai oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, tanpa mengira politik, kita akan bantu semua dan adil kepada mereka yang terbabit,” ketika berucap selepas melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan sementara di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Lanas, di sini hari ini.

Katanya Kerajaan Pusat sentiasa menitik beratkan dan memberi perhatian kebajikan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan banjir.