Lapan Persatuan Penduduk (RA) di sini mengambil langkah proaktif menguruskan sisa domestik mereka sendiri dengan bantuan minimum pihak berkuasa bagi memastikan kelestarian persekitaran.

Naib Presiden Persatuan Pengurusan Sisa dan Alam Sekitar Malaysia (MSWME) Sooria Gandhi Rao berkata projek ini adalah satu pendekatan dari bawah ke atas untuk menggalakkan dan menyokong penduduk menguruskan sampah mengikut kaedah pilihan mereka.

"Pihak berkuasa seperti kerajaan telah memainkan peranan dengan melaksanakan dasar berkaitan dan mendidik orang ramai melalui pelbagai platform.

"Sebagai masyarakat, kita harus sedar ia adalah lebih baik untuk menguruskan sisa kita sendiri dan bukannya menunggu pengutip sampah mengambilnya," katanya semasa lawatan media di sini baru-baru ini.

Idea yang dimulakan oleh MSWME membabitkan Persatuan penduduk dari Paragon Heights, Wangsa Melawati, Taman Tasik Indah, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Peel, Kampung Segambut Tengah, Sunway SPK Damansara, Flat Taman Mulia dan Perumahan Awam Bukit Kiara.

Ia juga membabitkan Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) dan Perbadanan Pengurusan Sisa pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang menyediakan bahan-bahan dan bantuan dalam bentuk pendidikan kepada penduduk bagi meningkatkan pengurusan sisa pepejal di rumah terutamanya sisa makanan.

Amalan bersepadu

Mengambil contoh Jepun sebagai salah sebuah negara terbaik dengan amalan bersepadu yang sistematik dalam pengurusan sisa, Rao berkata anggota Persatuan Penduduk dibawa melawat Jepun bagi memberikan mereka satu pengalaman berhubung pengurusan sisa domestik.

Katanya lawatan ke Jepun dianjurkan MSWME dengan JICA bagi anggota Persatuan Penduduk Paragon Height dan Wangsa Melawati pada 2014 dan 2015.

"Lawatan ini adalah bagi membolehkan mereka mengetahui dan memerhati aktiviti dan pelbagai peringkat pengurusan sisa oleh masyarakat di Jepun.

"Kami juga berpeluang bertukar-tukar pengalaman dan idea dengan masyarakat Jepun, agensi-agensi kerajaan dan pihak berkuasa tempatan mengenai bentuk halangan yang dihadapi semua pihak dan cara untuk mengatasinya," katanya.

Sooria berkata Persatuan Penduduk Wangsa Melawati dan Paragon Height adalah antara penduduk paling aktif melaksanakan inisiatif kitar semula mereka sendiri ke peringkat seterusnya.

Setiausaha Persatuan penduduk Wangsa Melawati Farahnur Kasim berkata mereka terpaksa membina Pusat 3R (Mengurangkan, Guna Semula, Kitar Semula) yang membolehkan penduduk meletakkan sampah mereka yang boleh dikitar semula termasuk minyak masak terpakai untuk dikutip Alam Flora.

"Kami juga memproses minyak masak terpakai dan menukarnya kepada lilin berwarna-warni," katanya.

Teknik pengkomposan

Sementara itu, wakil Persatuan Penduduk Paragon Height Joey Ch'ng berkata mereka mengambil keputusan untuk mengamalkan kaedah Bokashi, teknik pengkomposan menggunakan bakteria bagi menguraikan sisa makanan.

"Dengan melupuskan sisa makanan kami dengan penuh tanggungjawab, bukan sahaja kita boleh menyelamatkan daripada aliran sampah tetapi juga menyediakan produk yang kaya dengan nutrien yang kembali semula ke bumi," katanya.

Sementara itu, wakil kanan JICA Malaysia Shinsaku Fukuzawa berkata JICA akan terus membantu dan menyokong Malaysia dalam mencapai pembangunan yang seimbang ke arah menjadikannya sebuah negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

"Tahun ini, kami memberi tumpuan membantu Malaysia dalam pengurusan sisa pepejal terutama sisa makanan dengan menyediakan latihan, kemudahan dan teknologi," katanya.

JICA adalah sebuah agensi pentadbiran kerajaan Jepun yang menggalakkan kerjasama antarabangsa dengan menyokong pembangunan sosio-ekonomi, pemulihan dan kestabilan ekonomi negara-negara membangun termasuk Malaysia.