Kerajaan tidak pernah menempatkan anggota tentera di kawasan tertentu bagi tujuan meraih undi dalam pilihan raya umum sebaliknya ia dilakukan berdasarkan keperluan dan strategi pertahanan untuk menjamin keselamatan negara.

Sehubungan itu, Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohd Johari Baharum menempelak Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong yang mendakwa kononnya pembinaan kem tentera di kawasan tertentu di Johor bertujuan politik kerana ia satu penghinaan kepada pasukan keselamatan negara.

Malah Mohd Johari berkata meskipun kerajaan mempunyai kem tentera yang besar dan lengkap di Port Dickson, Negeri Sembilan serta pangkalan tentera laut terbesar di Lumut, Perak namun, Barisan Nasional (BN) tetap tewas di kawasan Dewan Undangan Negeri Port Dickson dan Parlimen Lumut.

“Jadi ini menunjukkan kita tidak ada motif langsung atau perancangan membina kem tentera adalah untuk menghadapi pilihan raya umum, tidak benar sama sekali,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan awal persekolahan di sini, pada Ahad.

Khamis lalu sebuah portal berita melaporkan Liew mencabar Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein untuk menafikan dakwaan bahawa satu kem tentera akan dibina di kawasan Parlimen Sembrong yang diwakili Hishammuddin.

Mohd Johari yang juga Anggota Parlimen Kubang Pasu menegaskan, sejak dahulu lagi kementeriannya tidak akan bertolak ansur sama sekali dengan mana-mana pihak mengenai isu keselamatan negara.

"Kita akan akan tempatkan anggota keselamatan di mana sahaja diperlukan termasuk di Pusat Latihan Khidmat Negara untuk pentadbiran serta pengurusan keselamatan di kawasan berkenaan," katanya.

Pada majlis itu, kira-kira 400 murid Tadika Kemas dari sekitar Parlimen Kubang Pasu menerima sumbangan berupa dua set pakaian seragam sekolah, sepasang kasut, dua pasang stoking dan alat tulis yang disumbangkan UEM Group Berhad.

-- BERNAMA