Penahanan tiga lelaki warga asing membawa kepada penemuan mayat lelaki yang disumbat di dalam sebuah kotak dan dicampak ke dalam parit dekat Taman Perindustrian Kip Kepong 7.15 malam tadi.

Mangsa dipercayai diculik dan dibunuh.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP R. Munusamy berkata mangsa ditemukan hasil soal siasat ke atas tiga suspek berkenaan yang ditahan jam 6 petang semalam.

Suspek dua warga Pakistan dan seorang warga Myanmar mengaku membunuh mangsa pada Rabu lepas.

Ketiga tiga suspek ditahan sejurus adik mangsa membuat laporan polis berhubung kehilangan abangnya sejak seminggu lalu.

Suspek juga dikatakan meminta wang tebusan berjumlah RM100,000.

Mangsa warga Pakistan didapati berusia 20an dan bekerja sebagai peniaga jalanan.

Mayat mangsa dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Kesemua suspek direman dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.