Insiden tempahan yang berlebihan bukan sesuatu yang baharu dalam industri penerbangan di kebanyakan negara.

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan sebuah insiden, iaitu seorang penumpang United Airlines diheret keluar dari pesawat oleh beberapa pegawai keselamatan sehingga menyebabkan kecederaan kepadanya.

Kejadian itu nyata mengundang pelbagai persoalan dalam kalangan netizen, terutamanya, “Apakah hak sebagai pengguna jika berhadapan dengan situasi seperti itu?”

Apabila Astro AWANI menghubungi Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) untuk mendapatkan penjelasan lanjut berkenaan polisi tempahan penerbangan di Malaysia - mereka menjelaskan bahawa penjualan tiket adalah keputusan komersial berpandukan prosedur dan garis panduan syarikat penerbangan masing-masing.

MACVOM bagaimanapun berkata jika seseorang pengguna terpaksa melepaskan tempahan kerusi dalam penerbangan mereka kerana tempahan yang berlebihan - pengguna berkenaan perlu diberi pampasan atau penjagaan berdasarkan Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia 2016

Hak-hak pengguna adalah;

a. Makanan, panggilan telefon yang terhad dan akses kepada internet

b. Penginapan di hotel apabila penginapan selama satu malam atau lebih adalah perlu

c. Pilihan antara bayaran balik penuh atau pesawat gantian

Tambah MAVCOM, syarikat penerbangan yang beroperasi perlu menghubungi terlebih dahulu penumpang supaya menawarkan diri secara sukarela untuk melepaskan tempahan mereka.