Pengumuman kerajaan bahawa harga minyak runcit akan kembali ditetapkan secara mingguan mungkin menjadi berita baik kepada rakyat, tetapi tidak kepada pengusaha stesen minyak.

Presiden Persatuan Pengusaha Stesen Minyak (PDAM), Datuk Khairul Annuar Abdul Aziz berkata, langkah ini seolah-olah memerangkap pengusaha stesen minyak.

“Seperti rakyat, kami juga suka bila harga minyak runcit rendah,” katanya ketika ditemubual dalam program Pilihan AWANI pada Isnin.

Katanya bagi pengusaha stesen minyak, apa yang menjadi isu adalah kaedah yang digunakan kerajaan untuk mengurangkan harga minyak runcit.

“Kami tiada kuasa untuk menetapkan harga, dan kebanyakan pengusaha stesen juga tiada kuasa untuk membuat pesanan (minyak) sendiri setiap hari.

“Jadi bila harga turun, kami terpaksa terima saja segala kerugian, dan bila harga naik pula penghantaran kurang, keuntungan yang kami dapat bila naik itu kurang berbanding kerugian yang kami tanggung.

“Jadi kami tersepit,” katanya.

Mekanisme penetapan harga apungan secara mingguan, yang digunakan oleh kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, menyaksikan penutupan lebih 300 stesen minyak di seluruh negara setakat April 2018.

PDAM sebelum ini mencadangkan Mekanisme Jaminan Margin Pengusaha (DGM) atau penjualan secara Konsainmen.

Di bawah sistem DGM, sekiranya harga minyak menurun selepas stesen minyak membuat pesanan minyak, syarikat minyak akan membuat bayaran gantian kepada stesen minyak.

Ini bermakna stesen minyak akan mendapat pampasan daripada syarikat minyak sekiranya mereka mengalami kerugian.

Bagaimanapun sekiranya harga minyak meningkat selepas stesen minyak membuat pesanan, stesen akan membayar bayaran gantian kepada syarikat minyak.

BACA: Cara saya kira harga minyak berbeza dengan BN - Rafizi

DGM memastikan margin keuntungan stesen minyak kekal pada 10 sen seliter, tidak kira sama ada harga minyak mentah global meningkat atau menyusut.

Penjualan secara konsainmen pula bermakna stok di stesen adalah milik syarikat minyak, dan pengusaha stesen hanya menjual selaku ejen.

Ini bermakna pengusaha stesen minyak mendapat komisyen bagi setiap liter dijual, dan tidak akan menanggung apa-apa risiko perubahan harga.

Khairul berkata mekanisme penetapan harga mingguan yang mahu diguna pakai kerajaan akan menyaksikan harga minyak runcit bertukar dengan kerap, sekaligus menyebabkan margin keuntungan stesen minyak tidak menentu.

Katanya, ketidaktentuan ini dikhuatiri akan menyebabkan harga barang meningkat.

“Bila banyak kali harga minyak naik, harga barang akan naik. Tetapi bila harga minyak turun, harga tidak akan turun.

“Kami risau setiap kali harga minyak naik, peniaga akan naikkan harga. Tetapi bila turun, peniaga tak turun harga.

“Fenomena ini akan menjadi pencetus kepada inflasi,” katanya.

BACA: Harga minyak: Rafizi puji Lim Guan Eng cepat bertindak

Khairul berkata sebelum ini, antara janji kerajaan Pakatan Harapan adalah untuk menstabilkan harga minyak runcit.

“Walaupun kami tidak bersetuju (dengan mekanisme harga mingguan), tapi kalau kerajaan tetap dengan perancangan ini, boleh berbincang dengan kami.

“Kami pernah berbincang dengan kerajaan sebelum ini dan sepatutnya ada mekanisme yang boleh mengurangkan atau mengelakkan risiko (ketidakstabilan) harga minyak runcit.

“Ketiga-tiga pihak (kerajaan, syarikat minyak dan stesen minyak) perlu berbincang sama, untuk memastikan kalau apa-apa hendak dibuat, bukanlah kami yang jadi mangsa di tengah-tengah.

“Kami tiada kuasa, kami kena dengar arahan kerajaan, dan kami kena ikut cakap syarikat minyak,” katanya.

Pada Isnin, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan akan kembali menetapkan harga minyak runcit secara mingguan bermula 1 Januari 2019.

Ini kerana mekanisme tersebut dijangka akan menurunkan harga minyak runcit, ekoran jangkaan penurunan berterusan harga minyak mentah global tahun depan.

“Oleh demikian, harga runcit produk petroleum dijangka turun mulai 1 Januari 2019 dan sekiranya trend penurunan harga minyak sedunia diteruskan, maka harga minyak runcit akan diturunkan setiap minggu,” kata Guan Eng dalam kenyataan kepada media pada Isnin.