Pengajian media yang ditawarkan di institusi pengajian tinggi masih relevan, namun ia memerlukan penstrukturan semula untuk memastikan ia dapat dimanfaatkan pelajar apabila tamat belajar kelak.

Menurut Tokoh Wartawan 2018, Tan Sri Johan Jaafar, subjek yang membabitkan media baharu atau new media serta pelaporan menerusi platform media sosial antara yang boleh dikaji untuk dimasukkan dalam silibus pengajian.

Beliau berkata, konteks industri media masa kini sangat berbeza dengan 10 atau 20 tahun sebelum ini.

"Tidak ada pengajian yang tidak relevan. Tetapi kita perlu melihat keseluruhan dengan sejujurnya, kurikulum atau sukatan pelajaran yang sedia ada.

"Pengajian media di universiti perlu dilihat semula, dari aspek kurikulum dan keperluannya dalam industri media," kata bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Melayu itu lagi.

Johan berkata demikian ada Forum Media Kebangsaan di Taylor's University, di sini, pada Rabu.

Forum kali keenam itu mengetengahkan tema 'Industri 4.0 - Kewartawanan Merentasi Pelbagai Platform', dengan objektif membincangkan isu-isu perkembangan teknologi seperti kecerdasan buatan atau AI, serta kesan media digital kepada industri secara keseluruhannya.

Antara panelis lain ialah Ketua Pengarang Kumpulan Malay Mail, Datuk Wong Sai Wan, Pengarah Pusat Pengajian Komunikasi University of Nottingham kampus Malaysia, Prof. Zaharom Nain dan Timbalan Ketua Pengarang Astro AWANI, Kamarul Bahrin Haron.

Johan berkata, perkembangan teknologi yang kini menuju ke era Revolusi Perindustrian 4.0 memerlukan penggiat media lebih terbuka, kreatif dan dinamik dalam menangani cabaran persaingan bukan sahaja sesama agensi media, tetapi juga untuk mendepani dominasi media sosial.

"Organisasi media tidak lagi mempunyai hak eksklusif terhadap berita. Sesiapa sahaja boleh menjadi pemberita atau wartawan.

"Dapat sahaja maklumat, ia boleh dimuatnaik ke platform media sosial dan sekelip mata, ia menjadi tular. Kalau kita ikut cara lama, kita tidak boleh bertahan," tambah beliau lagi.