KUALA LUMPUR:Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Tan Sri Annuar Musa  hari ini menghampakan pengamal media yang menunggu lebih  sejam untuk mendapatkan maklumat hasil pertemuan beliau dengan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar tengahari tadi.

Pengamal media dari pelbagai organisasi yang menunggu sejak pukul 11.30 pagi di hadapan Bukit Aman dengan harapan ada perkembangan terbaru yang boleh dikongsikan beliau.

Hampir 30 orang pengamal media yang menunggu sidang media dari Annuar, dihampakan apabila kereta Annuar beredar dari perkarangan pejabat polis Bukit Aman tanpa sebarang maklumat.

Usaha Astro AWANI untuk menghubungi Annuar melalui telefon turut tidak mendapat respons.

BACA: Pembelian Hartanah: Pengerusi dan CEO MARA Inc direhatkan

BACA: Isu hartanah MARA: Rafizi tolong henti ambil kesempatan raih populariti - Annuar Musa


Pagi ini, Khalid mengesahkan bahawa beliau akan berjumpa dengan Annuar di Bukit Aman tengah hari ini.

Namun demikian, Khalid berkata beliau tidak tahu tentang motif perjumpaan itu.

"Saya tidak diberitahu tujuan. Beliau (Annuar) memohon untuk bertemu dengan saya.

"Saya biasa terima ramai pengunjung sebenarnya. Sesiapa yang hendak jumpa saya bolehlah jumpa.

"Jadi, kita akan tunggu dan lihat," katanya semasa satu sidang media selepas Majlis Penyerahan Topi Keledar kepada petugas trafik anjuran Celcom, di sini, hari ini.

Sebelum ini terdapat ura-ura mengatakan Annuar bakal berjumpa Khalid dipercayai berkaitan dengan skandal pembelian hartanah Dudley International House di Melbourne, Australia.