Kerajaan akan terus memerangi kegiatan rasuah yang membabitkan anggota polis atau mana-mana agensi penguatkuasaan di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata langkah ini penting bagi mengembalikan keyakinan rakyat ke atas integriti penguatkuasa kerajaan biarpun data menunjukkan penurunan dari segi kadar jenayah.

Katanya, tiada tempat untuk mereka yang rosak integritinya di kementerian itu selagi beliau diberi amanah untuk mengetuai portfolio berkenaan.

“Ini masalah harapkan pegar, pegar makan padi, saya tidak berkompromi, tak mungkin, selagi saya bergelar Menteri Dalam Negeri.

"Saya mempunyai pendirian bersama rakan-rakan di KDN bahawa kita tak harus malu jika ada di kalangan orang dalaman agensi-agensi penguatkuasa itu terlibat dan tidak akan ada perlindungan daripada kami.

"Ini sesuatu yang harus saya pastikan," katanya kepada media selepas mengadakan perjumpaan dengan warga Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini pada Jumaat.

Beliau turut menjelaskan, tidak wujud masalah yang membabitkan prosedur operasi standard (SOP) di dalam kementeriannya, tetapi isu integriti ini perlu diperangi habis-habisan.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Ahmad Zahid berkata, tindakan 'pembersihan' secara menyeluruh itu akan dilakukan setiap waktu dan tidak bermusim.

"Kita harus bersiap siaga setiap masa kerana ada dalam kalangan kita yang ada sifat tidak baik hingga 'merosakkan susu sebelanga'.

"Dan saya tidak mahu keadaan itu berlaku di mana-mana agensi jabatan penguatkuasaan di bawah KDN dan kementerian lain juga," tambahnya.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika mengulas penahanan sejumlah anggota dan pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dipercayai terlibat melindungi sindiket pengedaran dadah baru-baru ini.

Katanya, perkembangan itu turut dipantau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melalui maklumat yang diberikan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta agensi lain.

Timbalan Perdana Menteri juga memberi jaminan bahawa KDN tidak akan melindungi mana-mana anggota atau pegawai dalam agensi penguatkuasaan yang bersekongkol dengan sindiket jenayah.

Mengulas mengenai pengumuman Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Isnin lepas bahawa akan berlaku operasi 'pembersihan' besar-besaran terhadap Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman susulan tangkapan 16 anggota dan pegawai kanan jabatan itu yang dipercayai terlibat melindungi sindiket berkenaan, Ahmad Zahid berkata tindakan itu akan dilaksanakan di seluruh jabatan PDRM.

Jelasnya, ia berikutan terdapat kes pegawai PDRM dari jabatan lain yang turut ditahan seperti di Melaka apabila enam pegawai polis ditahan reman bagi membantu siasatan kes rasuah.

"Kita lakukan operasi pembersihan semua sekali (jabatan) kerana apa yang berlaku di Melaka bukan melibatkan Jabatan Narkotik tetapi melibatkan Jabatan Siasatan Jenayah Berat.

"Saya juga telah berjumpa Ketua Polis Melaka semalam dan saya berikan pengesahan kepada beliau untuk lihat semua yang terlibat. Tidak perlu lindungi walaupun ada dalam kalangan mereka yang kononnya dianiaya, digunakan, kononnya dipaksa... tiada alasan," kata Ahmad Zahid.

Kesemua enam pegawai polis itu direman selama enam hari bermula Rabu (17 Mei) bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka.

Menurut Ahmad Zahid, tindakan seumpama itu telah menyebabkan persepsi negatif rakyat terhadap PDRM tidak berubah walaupun Indeks Kadar Jenayah di negara ini menurun.

"Usaha-usaha yang dilakukan PDRM untuk menurunkan Indeks Kadar Jenayah adalah yang terbaik tetapi persepsi rakyat tidak berubah disebabkan masalah yang berlaku ini...nila-nila ini yang rosakkan susu sebelanga.

"Justeru, perkara ini harus dibanteras bagi membetulkan imej PDRM secara keseluruhan," katanya.