Surat Perjanjian Operasi antara Kuala Lumpur dan Pusat Kawalan Kawasan Singapura Mengenai Ketibaan, Keberangkatan dan Penerbangan Singapura 1974 (OLOA 1974) sedang disemak semula.

Ia bagi membolehkan Malaysia mengambil semula ruang udara di selatan Johor yang sebelum ini diuruskan oleh Singapura menerusi OLOA 1974.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, jawatankuasa tertinggi kedua-dua negara sedia maklum mengenai perkara itu.

Katanya, pengambilan semula ruang udara akan dilakukan secara berperingkat.

Jelas Anthony, ketika perjanjian OLOA 1974 dibuat, Malaysia belum bersedia sepenuhnya dari segi peralatan sistem kawalan trafik udara, radar dan sebagainya.

“Selepas 45 tahun, dari 1974 sehingga sekarang, kita (Malaysia) ada banyak pelaburan dari segi sistem kawalan trafik udara, radar dan Pusat Trafik Udara di Sepang yang sedang dibina juga akan siap dalam beberapa bulan akan datang.

“Kita dah bincang dengan Singapura dan setuju untuk tubuh jawatankuasa. Kita bagi tahu cadangan kita untuk ambil ruang udara kita secara berfasa-fasa dan akan diumum kepada orang ramai dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas taklimat projek Landasan Berkembar Elektrik Gemas-Johor Bahru bersama wakil rakyat di kawasan terlibat di Kempas, Johor.

Pada 9 April lalu, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan hasrat mahu mengambil semula ruang udara sebelah selatan Johor yang terletak di bawah jagaan Singapura sejak 1974.

Dalam sidang media bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong sempena pemukiman pemimpin Malaysia-Singapura ke-9 di Putrajaya, Dr Mahathir berkata beliau berharap agar perkara itu dapat dicapai dalam tempoh masa antara 2019 hingga 2023.

BACA: Malaysia sasar ambil semula ruang udara Selatan sebelum 2023