Padah melarikan diri dan menghalang anggota polis daripada menjalankan pemeriksaan, seorang penganggur didenda RM1,000 atau dua bulan penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Majistret Nur Azura Murah menjatuhkan hukuman tersebut ke atas Julkani Usas, 42, selepas dia mengaku bersalah menghalang Lans Koperal Alrezwan Aziz daripada menjalankan tugasnya iaitu dengan tidak memberi kerjasama kepada pihak polis ketika mahu menjalankan tangkapan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Jejaka 5, Taman Maluri, Cheras, di sini pada pukul 8 malam, 5 November lepas.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya.

Mengikut fakta kes, ketika sedang menjalankan rondaan, Alrezwan mendapati tertuduh dalam keadaan mencurigakan lalu menahan tertuduh untuk membuat pemeriksaan badan.

Ketika mahu membuat pemeriksaan itu, tertuduh secara tiba-tiba membuang dua batang rokok yang disimpan di dalam poket seluar hadapan, mencampakkan kain tuala dan sehelai baju yang disorokkan di bahagian belakang seluar dalamnya lalu bertindak melarikan diri.

Alrezwan kemudian mengejar tertuduh dan melihat tertuduh naik ke sebuah rumah kedai dan bersembunyi di dalam bilik.

Berlaku pergelutan ketika tangkapan kerana tertuduh bertindak agresif untuk melepaskan diri.

Ketika rayuan, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda paling minimum.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Ezrene Zakariah memohon hukuman berbentuk pengajaran kerana tindakan tertuduh bukan sahaja membahayakan anggota polis tetapi juga orang lain apabila masuk ke rumah orang awam yang tidak dikenali.