Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh atas pertuduhan membunuh bapa kandungnya dua minggu lalu.

Tertuduh, Pang Kar Foong, 49, didakwa melakukan jenayah itu di sebuah rumah di Jalan Besar Gunung Rapat.

Dia bagaimanapun tidak membuat sebarang pengakuan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Noor Azreen Liana Mohd Darus.

Mengikut pertuduhan, Kar Foong didakwa dengan sengaja menyebabkan kematian Pang Ket Tai, 75, menggunakan botol dan serpihan botol kicap di lokasi kejadian.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu kira-kira 6.30 petang, 12 September lalu.

Jika disabitkan kesalahan, Kar Foong boleh dikenakan hukumaan mati mandatori di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya K. Darinee manakala tertuduh diwakili peguam R. Rajasegaran.

Menurut R Rajasegaran, anak guamnya perlu mendapatkan rawatan susulan sakit mental di Hospital Tanjung Rambutan/

Mahkamah menetapkan 9 November depan bagi sebutan semula kes dan mendapatkan laporan bedah siasat.