KULIM:Seorang penganggur didakwa di Mahkamah Majistret Kulim hari ini atas dua pertuduhan kerana melakukan ugutan jenayah dan khianat terhadap ibu kandungnya pada 10 Oktober lalu.

Tertuduh Mohammad Nizam Mohd Yusof, 29, bagaimana membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Majistret, Che Rohana Ismail.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengugut untuk memukul ibu kandungnya, Noraini Abdullah, 53, dengan sebatang kayu di rumah mereka di Taman Kenari, kira-kira pukul 7.20 petang.

Manakala bagi pertuduhan kedua, tertuduh telah melakukan khianat dengan membaling serta memecah barangan perkakasan rumah milik ibunya di alamat dan waktu yang sama.

Bagi kesalahan dilakukan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 506 dan 426 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh di hukum penjara tidak lebih tujuh atau didenda atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwaraya Muhammad Akmal Abdul Ghani.

Mahkamah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mahkamah menetapkan 22 November depan untuk sebutan semula kes.