Seorang penganggur maut dipercayai dipukul di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang, Setapak di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.30 malam itu, lelaki berusia 53 tahun itu cedera di belakang kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Supt Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata polis sedang mengenal pasti suspek terlibat dan menyiasat motif kejadian.

"Berdasarkan semakan awal, mangsa mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan kes dadah," katanya di sini, hari ini.

Roy berkata mayat dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

-- BERNAMA