Mahkamah Majistret Kangar hari ini menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara enam bulan ke atas seorang penganggur yang mengaku bersalah menyamar sebagai anggota polis awal bulan ini.

Majistret, Shamshul Azwa Martadza menjatuhkan hukuman itu ke atas Muhamad Shahiri Sallahudin, 23, selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa memperkenalkan dirinya sebagai seorang anggota polis kepada seorang pegawai kastam di Kompleks Imigresen Kastam dan Kuarantin (ICQS) Padang Besar kira-kira pukul 3.20 petang, 2 November lepas.

Muhamad Shahiri ditangkap oleh polis semasa berada di kawasan sama pada 15 November lepas.

Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Farhan Aliff Ahmad mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Siti Hajar Ahmad daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Tertuduh membayar denda yang dikenakan.

-- BERNAMA